MOTAC tonjol kepelbagaian kaum, budaya dan perpaduan rakyat Malaysia sebagai teras kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 untuk tarik 40 juta pelancong.
SIBU: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan menonjolkan kepelbagaian kaum, budaya serta semangat perpaduan dan keharmonian rakyat Malaysia dalam kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Menterinya Datuk Seri Tiong King Sing berkata elemen itu perlu dibuktikan kepada dunia untuk meyakinkan pelancong asing bahawa Malaysia destinasi pelancongan terbaik dan selamat.
Beliau berkata kepelbagaian budaya serta keharmonian masyarakat berbilang kaum merupakan kekuatan utama negara dan akan menjadi teras kempen TMM2026 di peringkat antarabangsa.
“Kami mempunyai peluang besar untuk menarik pelancong dari seluruh dunia termasuk negara-negara Asia,” katanya kepada media sempena program Sibujaya Countdown 2026 di Sibujaya.
Tiong menegaskan Malaysia perlu mempamerkan budaya semua kaum dan seluruh rakyat perlu bersedia menerima kehadiran pelancong asing dalam jumlah besar.
Acara kemuncak sambutan bertemakan Menuju 2026, Terokai Sibu, Rasai Malaysia itu dijadual berlangsung di Pusat Sukan Komuniti Azman Hashim, Sibujaya pada Rabu ini.
Tiong berkata rakyat Malaysia telah lama hidup dalam suasana perpaduan, harmoni dan saling menghormati walaupun berbeza latar belakang.
“Jangan kita jadikan perbezaan budaya sebagai isu politik, sehingga mencetuskan sentimen perkauman dan keagamaan,” katanya.
Beliau menambah rakyat perlu membuktikan kepada dunia bahawa negara ini sentiasa mengutamakan serta mengekalkan perpaduan dan keharmonian.
Tiong turut memaklumkan jumlah kedatangan pelancong ke Malaysia pada tahun lepas merekodkan 38 juta orang.
Bagi tahun ini sehingga November, jumlah tersebut telah menghampiri 40 juta pelawat.








