Jumlah mangsa banjir di Perak, Pulau Pinang dan Kedah meningkat kepada 5,806 orang ditempatkan di pusat pemindahan sementara pagi ini.
KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di tiga negeri terus meningkat kepada 5,806 orang pagi ini.
Di Perak, jumlah mangsa di empat daerah terjejas meningkat kepada 2,922 orang daripada 993 keluarga setakat 8 pagi ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak memaklumkan satu lagi pusat pemindahan sementara dibuka menjadikan keseluruhan 26 pusat kini beroperasi.
Di Pulau Pinang, jumlah mangsa turut meningkat kepada 1,026 orang daripada 279 keluarga pagi ini dengan semua mangsa ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara.
Menurut laman web Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, tujuh pusat itu terletak di tiga daerah iaitu empat di Seberang Perai Utara, dua di Seberang Perai Tengah dan satu di Barat Daya.
Daerah Seberang Perai Utara mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 778 orang daripada 212 keluarga yang ditempatkan di empat pusat pemindahan.
Sebanyak 217 mangsa daripada 58 keluarga pula berada di dua pusat pemindahan di daerah Seberang Perai Tengah.
Di daerah Barat Daya, 31 mangsa daripada sembilan keluarga ditempatkan di SK Tan Sri Awang Salleh.
Di Kedah, jumlah mangsa banjir terus meningkat kepada 1,858 orang daripada 587 keluarga dengan enam pusat pemindahan sementara baharu dibuka.
Pokok Sena dan Baling merupakan daerah terbaharu terjejas akibat bencana itu dengan keseluruhan 14 pusat pemindahan sementara kini beroperasi.
Sebanyak empat pusat pemindahan dibuka di daerah Baling menempatkan 251 orang daripada 88 keluarga.
Di Pokok Sena, satu pusat pemindahan dibuka di Dewan Serbaguna Pokok Sena menempatkan 85 orang daripada 26 keluarga.
JPBN Kedah turut memaklumkan bahawa daerah Kulim mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 1,470 orang daripada 449 keluarga di lapan pusat pemindahan.
Di daerah Kuala Muda, jumlah mangsa yang ditempatkan di SJKC Chong Cheng ialah 52 orang daripada 24 keluarga.
Sementara itu, laman sesawang Public Infobanjir mengeluarkan amaran banjir di daerah Langkawi yang dijangka menjejaskan kawasan rendah dalam radius lima kilometer.
Empat sungai di Kedah dilaporkan melepasi paras bahaya iaitu Sungai Pendang di Pendang, Sungai Chepir di Sik, Sungai Ketil di Baling dan Sungai Titi Kerbau di Pendang.
Dua lagi sungai berada pada paras waspada iaitu Sungai Nawa di Pokok Sena dan Sungai Anak Bukit di Kota Setar. – Bernama










