Matriks Pembelajaran Malaysia untuk tahun 4 dan tingkatan 3 dilancarkan sebagai mekanisme intervensi dan pengukuhan kurikulum, gantikan UPSR dan PT3.
PUTRAJAYA: Pendekatan Matriks Pembelajaran Malaysia bagi pelajar tahun empat dan tingkatan tiga merupakan satu kaedah penilaian yang menumpukan kepada sokongan awal pembelajaran secara berperingkat.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pendekatan berkonsepkan ujian itu diperkenalkan bagi memastikan tahap penguasaan murid dapat dikenal pasti lebih awal. Ini membolehkan guru dan pihak sekolah merancang langkah pengukuhan kurikulum yang bersesuaian.
“Pelaksanaan matriks pembelajaran tahun empat dibuat bagi memastikan masih terdapat tempoh dua tahun untuk melaksanakan intervensi, sekiranya kelemahan atau jurang pembelajaran dapat dikenal pasti pada peringkat awal,” katanya.
Beliau menegaskan matriks pembelajaran berperanan sebagai mekanisme intervensi dan pengukuhan pembelajaran selain menyokong pelaksanaan kurikulum baharu.
Matriks Pembelajaran Malaysia akan dilaksanakan oleh Lembaga Peperiksaan selaku badan berwajib bagi mewujudkan keyakinan awam. Bagi tahun empat ia akan dilaksanakan Oktober tahun ini, manakala untuk tingkatan tiga pada 2027.
Ia melibatkan empat mata pelajaran bagi tahun empat iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains. Bagi tingkatan tiga, ia melibatkan lima mata pelajaran termasuk Sejarah.
Menurut Fadhlina, matriks pembelajaran juga akan mempersiapkan murid untuk menghadapi tiga penilaian antarabangsa. Penilaian itu adalah PISA, TIMSS dan SEA-PLM.
Dalam pada itu, beliau berkata Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) tidak dikembalikan. “Matriks pembelajaran ini jauh lebih baik daripada UPSR dan PT3 kerana ruang lingkupnya adalah penambahbaikan dan intervensi,” katanya.
Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 turut dilancarkan sebagai langkah reformasi pendidikan. Pelan pendidikan baharu itu melibatkan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi.








