MOTAC menarik balik surat sokongan dan menyenarai hitam Srikandi Wawasan Enterprise selama tiga tahun kerana pelanggaran serius dalam program kebudayaan di Indonesia.
PUTRAJAYA: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menarik balik surat sokongan dan menyenarai hitam Srikandi Wawasan Enterprise selama tiga tahun.
Tindakan itu diambil susulan pelanggaran syarat yang serius dalam penganjuran program Temasya Kesenian dan Kebudayaan Asia Tenggara.
Surat sokongan itu asalnya dikeluarkan bagi membolehkan penaja program layak menerima potongan cukai sebagai insentif menyokong penganjuran program seni, budaya atau warisan.
MOTAC memaklumkan keputusan itu dibuat selepas siasatan terperinci berhubung insiden yang tular pada 24 Oktober lalu.
Insiden itu melibatkan 61 pelajar sekolah dari Malaysia yang terkandas selama tiga jam di Lapangan Terbang Soekarno-Hatta, Jakarta, di bawah pengurusan syarikat berkenaan.
“Siasatan mendapati penganjur menukar tujuan asal program seperti yang dinyatakan dalam surat sokongan tersebut iaitu daripada persembahan kebudayaan kepada lawatan pelancongan tanpa memaklumkan kepada MOTAC,” menurut kementerian itu.
Mereka juga didapati gagal menyediakan penginapan, pengangkutan, makanan dan minuman serta jadual perjalanan yang jelas.
Kegagalan itu menyebabkan peserta terkandas tanpa bantuan sewajarnya sehingga memaksa pihak Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta campur tangan.
Tindakan syarikat itu menunjukkan kecuaian serius dan telah melanggar prosedur operasi standard keselamatan serta garis panduan pengurusan program di luar negara.
Penganjur turut didakwa mengeluarkan kenyataan mengelirukan dengan menyatakan penari MOTAC terlibat dalam program tersebut.
“Mereka merupakan penari bebas sekali gus menimbulkan salah tanggapan kepada peserta dan penaja selain bercanggah dengan prinsip integriti, ketelusan dan amanah dalam pentadbiran awam,” tegas MOTAC.
Liputan media di Malaysia dan Indonesia telah mengaitkan MOTAC secara tidak langsung dengan program itu.
“Kegagalan penganjur menjaga reputasi kementerian telah menjejaskan kredibiliti MOTAC sebagai institusi kerajaan yang profesional dan bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu.
MOTAC menegaskan komitmennya untuk memastikan integriti, ketelusan dan akauntabiliti dalam semua proses.
“Sehubungan itu, mana-mana pihak adalah dilarang menggunakan atau merujuk surat sokongan tersebut bagi apa-apa urusan selepas tarikh kenyataan ini,” menurut MOTAC.
Kementerian itu tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang implikasi yang timbul daripada penggunaan dokumen yang terbatal itu.
MOTAC turut menzahirkan komitmen untuk memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melanggar garis panduan yang ditetapkan.
Orang ramai digalakkan menyemak dengan MOTAC bagi program atau acara seumpama bagi mengelakkan insiden sama berulang.







