the sun malaysia ipaper logo 150x150
Monday, December 15, 2025
28.5 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

MSjN seru masyarakat elak sebar kenyataan sejarah tanpa rujukan tepat

Majlis Sejarawan Negara gesa orang ramai beretika, jangan sebarkan dakwaan sejarah tanpa fakta sahih dan rujukan ilmiah yang betul

KUALA LUMPUR: Majlis Sejarawan Negara (MSjN) menyeru masyarakat agar lebih peka, beretika dan tidak tergesa-gesa mengeluarkan atau menyebarkan kenyataan berkaitan sejarah tanpa rujukan tepat.

MSjN menegaskan penyebaran maklumat tidak berasas berpotensi mengelirukan serta menjejaskan kefahaman awam terhadap sejarah negara.

Menurut MSjN, sejarah merupakan disiplin ilmu yang berasaskan metodologi penyelidikan khusus, penggunaan sumber berautoriti, fakta sahih serta penilaian kritikal berlandaskan kaedah ilmiah.

“MSjN memandang serius penularan pelbagai dakwaan, tafsiran dan pandangan berkaitan isu-isu sejarah di ruang awam, khususnya di media sosial,” menurut kenyataan itu.

MSjN menegaskan sebarang kenyataan atau tafsiran sejarah hendaklah dikemukakan secara berhemah, bertanggungjawab dan berpaksikan kerangka ilmiah yang sahih.

Dalam usaha memperkukuh kefahaman sejarah, MSjN menerusi Kementerian Perpaduan Negara dan Arkib Negara sedang merangka inisiatif strategik dan pendekatan baharu.

Inisiatif itu bertujuan memperkasakan sejarah sebagai disiplin ilmu yang berteraskan fakta, pemikiran kritis dan wacana ilmiah.

“MSjN kekal komited untuk memelihara integriti sejarah sebagai teras pembinaan jati diri dan negara bangsa,” menurut kenyataan itu.

Komitmen itu juga bagi memperkukuh budaya ilmu, pemikiran kritis serta penghormatan terhadap fakta sejarah demi kepentingan pendidikan, keharmonian sosial, perpaduan nasional dan kelangsungan negara. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories