Operasi udara hantar 17 tan bekasan makanan kepada Orang Asli di pedalaman Gua Musang ditangguh akibat cuaca buruk dan nasihat JBPM
GUA MUSANG: Operasi penghantaran lebih 17 tan bekalan makanan asas oleh Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) kepada masyarakat Orang Asli di pedalaman terpaksa ditangguhkan.
Penangguhan itu berikutan cuaca buruk dan nasihat daripada pihak JBPM.
Ketua Cawangan Pengurusan Operasi Bahagian Udara JBPM, PKB I Mohd Ruzaidi Ramlee berkata sebanyak 383 beg makanan seberat 6,894 kilogram telah berjaya dihantar dalam tempoh tiga hari.
“Kesemua beg makanan itu dihantar menggunakan helikopter jenis Mi-17-IV ke Kampung Tendrik, Pos Bihai dan Pos Gob bermula 6 Jan hingga semalam,” katanya.
Beliau memaklumkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) telah memohon agar operasi terbabit ditunda ke satu tarikh yang akan dimaklumkan.
Bakul makanan itu pada asalnya dirancang untuk dihantar ke lima perkampungan Orang Asli iaitu Pos Gob, Pos Simpor, Pos Belatim, Pos Bihai dan Pos Balar.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Pengurusan) JAKOA Saiful Zahlan Muhamad Azmi berkata penghantaran baki 573 bakul makanan akan diselaraskan bersama pihak JBPM dalam masa terdekat.
“Operasi yang dirancang hingga 9 Jan terpaksa ditamatkan lebih awal berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan,” katanya.
Beliau berkata JAKOA telah mengagihkan bakul makanan secara berperingkat kepada semua penduduk Orang Asli di Semenanjung Malaysia yang terjejas akibat bencana alam.
Bantuan itu diberikan bagi kes terputus hubungan, kebakaran dan kesusahan akibat serangan haiwan liar.
“Pada 2025, JAKOA telah membelanjakan hampir RM1.72 juta bagi pembekalan bakul makanan kepada rakyat yang terkesan dan terjejas akibat bencana dan musibah,” katanya








