the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, July 2, 2026
31.7 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Operasi mencari Sabari masih tiada petunjuk

JITRA: Operasi hari ketiga pencarian pesara pegawai kewangan Felcra Sabari Baharom, 62, yang dicampak di Sungai Padang Terap di sini, masih belum menemukan sebarang petunjuk.

Berdasarkan pemerhatian Bernama di lokasi pencarian berhampiran dengan Jambatan Kampung Lubuk Batu mendapati usaha mengesan mangsa oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan hingga kira-kira 6 petang tadi.

Operasi dalam radius 13 kilometer itu membabitkan pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Polis Marin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Sementara itu, isteri mangsa Subhiah Ruslina Shahibi, 57, yang berada di lokasi sejak pencarian bermula pagi tadi dilihat tenang ditemani saudara mara serta kenalan.

“Saya pun tak pasti operasi SAR sampai bila. Polis cuma maklumkan, mereka akan hubungi saya nanti, mungkin mereka perlu mengadakan taklimat atau mesyuarat terlebih dahulu sebelum buat sebarang kesimpulan,” katanya sebelum meninggalkan lokasi pencarian.

Media sebelum ini melaporkan Sabari hilang sejak 4 Sept lepas dan kereta Proton Waja dinaikinya kemudian ditemukan hangus di Belantik, Sik.

Polis kemudian mengesahkan Sabari dicampak ke dalam Sungai Padang Terap dekat Jitra dalam keadaan tangan diikat dan mulut ditutup dengan pita pelekat dan menahan dua suspek lelaki berumur 26 serta 38 tahun, Jumaat lepas.

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings