Skuad Pahang cipta sejarah menjuarai Kejohanan Hoki 5s B-21 kebangsaan edisi pertama, atasi Perak 2-1 di final
KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki Pahang mencipta sejarah sebagai juara sulung Kejohanan Hoki 5 Sebelah (5s) Kebangsaan Bawah 21 Tahun (B-21).
Pasukan itu menang tipis 2-1 ke atas Perak dalam aksi final di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
Pahang mendahului seawal minit ketiga menerusi gol padang Shafiq Amar Fahmi Suzaini.
Gol kedua disumbangkan Iman Faris Faizo yang memanfaatkan situasi “challenge” atau satu lawan satu empat minit kemudian.
Ahmad Ariff Daniel Mohd Shahrean menjaringkan gol saguhati Perak pada minit ke-16 menerusi jaringan padang.
Ketua jurulatih Pahang, Mohd Sufian Mohamad, berpuas hati strategi mencari gol awal berjaya dilaksanakan.
“Saya harap kejayaan hari ini dapat membuka jalan untuk Kerajaan Negeri Pahang membantu kami menyediakan padang khas hoki 5s memandangkan sebelum ini kami berlatih di padang sementara di Temerloh,” katanya.
Dalam saingan wanita, Negeri Sembilan muncul juara dengan membenam Pahang 4-1.








