Pasangan panda gergasi baharu, Chen Xing dan Xiao Yue, diperkenalkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Pusat Konservasi Giant Panda Zoo Negara.
KUALA LUMPUR: Pasangan panda gergasi baharu, Chen Xing dan Xiao Yue, diperkenalkan buat pertama kali kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Majlis pengenalan itu berlangsung di Pusat Konservasi Giant Panda (PKGP) Zoo Negara.
Anwar tiba di lokasi pada kira-kira pukul 11.30 pagi bagi menyempurnakan majlis berkenaan.
Beliau turut meluangkan masa menandatangani buku pelawat dan meninjau ruang pameran panda tersebut.
Turut hadir Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup serta timbalannya Syed Ibrahim Syed Noh.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing juga hadir.
Pasangan panda jantan Chen Xing dan betina Xiao Yue itu tiba dari China pada 18 November 2025.
Mereka telah selesai menjalani tempoh kuarantin yang diperlukan.
Arthur sebelum ini memaklumkan bahawa PKGP akan dibuka kepada orang awam dalam masa terdekat.
Beliau berkata pasangan panda tersebut merupakan ikon hubungan diplomatik Malaysia-China.
“Ini usaha mengukuhkan kerjasama kedua-dua negara, khususnya dalam bidang konservasi dan penyelidikan hidupan liar,” katanya.








