Seorang peguam berdepan tiga pertuduhan bersubahat mengedar dan memiliki dadah di lokap Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada Disember lepas.
MARANG: Seorang peguam didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan bersubahat mengedar dan memiliki dadah.
Che Muhammad Amir Syafiq Che Musa, 33, didakwa bersubahat mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 123 gram bersama Muhammad Syafiq Syahmi Mohamad Zafri, 26.
Perbuatan itu dilakukan di lokap Mahkamah Tinggi, Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu antara 9 pagi hingga 12 tengah hari pada 23 Dis lepas.
Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 33 Akta Dadah Berbahaya 1952 dibaca bersama Seksyen 39B(1)(a) dan Seksyen 39B(2) akta sama.
Ia memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekurang-kurangnya 15 sebatan jika sabit kesalahan.
Tertuduh turut didakwa bersubahat memiliki dadah jenis kanabis seberat 21 gram serta nimetazepam seberat 13 gram bersama individu sama di lokasi, masa dan tarikh sama.
Bagi pertuduhan memiliki kanabis, dia berdepan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun serta sebatan.
Sementara bagi pertuduhan memiliki nimetazepam, dia berdepan hukuman denda hingga RM100,000 atau penjara maksimum lima tahun.
Tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Athirah Hashim.
Pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh kerana pertuduhan di bawah Seksyen 39B merupakan kesalahan tidak boleh dijamin.
Mahkamah menetapkan 29 April untuk sebutan semula kes.








