Polis siasat kes pelajar tahfiz cedera lebam dan bengkak tangan dipercayai dipukul tiga rakan di pusat tahfiz Kajang bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan
KAJANG: Seorang pelajar tahfiz mendakwa mengalami kecederaan akibat dipukul tiga rakan pelajar di sebuah pusat tahfiz di sini pada 18 Januari lepas.
Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada Isnin lepas kira-kira 11.28 pagi.
Beliau berkata kejadian dipercayai berlaku kira-kira 12.30 tengah malam.
Mangsa mengalami lebam serta bengkak pada kedua-dua belah tangan.
“Pihak polis mengesahkan telah menerima satu laporan polis berhubung kes tersebut dan punca sebenar kejadian kini sedang dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan.
Naazron berkata kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara hingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Beliau meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan untuk tampil membantu siasatan.
Mereka boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Pegawai Penyiasat Kes Sarjan Muhammad Haniffa Abd Rajk menerusi talian 019-7356544.








