the sun malaysia ipaper logo 150x150
Saturday, July 4, 2026
27.5 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Pemimpin Sabah kenang Bung Moktar sebagai pejuang negeri yang lantang

Pemimpin Sabah menyifatkan Bung Moktar Radin sebagai pejuang tegas yang lantang menyuarakan isu negeri dan berjasa dalam pembangunan

KOTA KINABALU: Pemergian Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin hari ini amat mendukacitakan buat kalangan pimpinan di Sabah, yang menyifatkan tokoh politik itu sebagai figura penting yang sentiasa memperjuangkan kepentingan negeri dan rakyatnya.

Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata meskipun beliau tidak begitu mengenali Allahyarham pada peringkat awal, hubungan kerjasama mula terjalin erat ketika Bung Moktar memegang jawatan Timbalan Ketua Menteri dalam pentadbiran yang lepas.

Joachim yang juga pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata Allahyarham seorang pemimpin dengan komitmen tinggi terhadap pembangunan Sabah serta lantang menyuarakan isu-isu berkaitan negeri.

“Dia (Bung Moktar) mahu melakukan untuk negeri, kadang-kadang kita boleh merancang, namun, Tuhan yang lebih mengetahui. Berehatlah dengan tenang sahabat.

“Beliau berusaha melakukan yang terbaik untuk Sabah. Beliau sememangnya seorang yang lantang untuk masalah-masalah Sabah. Jadi, disebabkan ini kami sangat menghormati beliau,” katanya selepas menghadiri majlis penghormatan terakhir untuk Allahyarham di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif pula menyifatkan Bung Moktar sebagai pejuang tegas yang meninggalkan kesan mendalam dalam landskap politik Sabah.

“Kita kehilangan sebutir bintang di langit perjuangan di negeri Sabah ini. Seorang tokoh yang cemerlang dalam kepimpinannya dan beliau juga ialah guru kepada perjuangan kita semua. Mudah-mudahan Allah memberkati roh beliau dan semua amal bakti yang telah dicurahkan oleh beliau,” katanya.

Dalam pada itu, Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah Datuk Limus Jury berkata Bung Moktar sentiasa menunjukkan komitmen tinggi terhadap pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

“Datuk Seri Bung Moktar ini seorang yang begitu baik dan juga pemurah, dia membantu kepada rakyat di bawah dan seorang juga yang berpengalaman dalam politik di negeri Sabah,” katanya.

ADUN Kuamut Datuk Masiung Banah pula berkata Bung Moktar merupakan tokoh penting dalam pembangunan kawasan Kinabatangan, terutama berkaitan projek infrastruktur utama.

Beliau berkata kerjasama mereka selama ini berjalan baik, khususnya dalam urusan pembangunan yang memerlukan koordinasi antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

“DUN Kuamut satu daripada DUN dalam Parlimen Kinabatangan. Memang kita semua tahu Allahyarham ialah Ahli Parlimen yang berkaliber, lantang menyuarakan masalah rakyat khususnya di Kinabatangan. Tidak dinafikan beliau telah banyak menyumbang jasa selama berkhidmat sebagai Ahli Parlimen. Banyak pembangunan yang beliau bawa di Kinabatangan.

“Antaranya ialah kemudahan infra, jalan raya, elektrik, air dan sebagainya, melibatkan kos-kos yang tinggi. Malahan saya panggil dia ‘Abangku’,” katanya.

Bung Moktar yang juga bekas timbalan ketua menteri, 66, meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini pada 1.46 pagi tadi dan pemergian itu disahkan anaknya Naim Kurniawan Moktar.

Jenazah Allahyarham dibawa ke rumahnya di Luyang dan solat jenazah dilakukan di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas di sini selepas solat Jumaat.

Bung Moktar mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Negeri ke-17 pada 29 Nov.- Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

The VinFast VF 8 and the New Priorities of EV Ownership

DUBAI, UAE - Media OutReach Newswire - 3 July 2026 - Today's EV buyers are looking beyond range and horsepower. They want an ownership experience that is just as reassuring as the vehicle itself, and that is where the VinFast VF 8 makes a strong case.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings