Sebuah keluarga di Kampung Orang Asli Labong, Mersing menganggap cabaran banjir kali ini lebih besar meskipun sudah biasa dengan rutin tahunan
MERSING: Sebuah keluarga di Kampung Orang Asli Labong di sini menganggap cabaran menghadapi kejadian banjir kali ini lebih besar meskipun telah membuat persediaan awal setiap kali musim hujan.
Herman Awang, 48, berkata beliau antara yang terawal berpindah berikutan kedudukan rumahnya yang terletak di kawasan rendah.
Beliau berkata kejadian banjir kali ini di luar jangka apabila hujan berterusan dari Pahang menyebabkan paras air meningkat dengan cepat.
Hujan lebat berterusan selama dua hari menyebabkan air mula memasuki rumahnya kira-kira 11 malam pada Selasa lepas.
“Kami memang sudah biasa dengan rutin ini tetapi kali ini cabarannya lebih besar kerana anak kedua saya baru bersalin dan cucu lelaki berusia sebulan dua hari juga perlu diselamatkan segera,” katanya.
Herman berkata paras air mula meningkat awal pagi Rabu, memaksa beliau membawa keluar cucunya menaiki kereta ke tempat selamat sebelum mereka sekeluarga berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Beliau berkata selain kerosakan harta benda dan pakaian, kebimbangan turut tertumpu kepada keselamatan keluarga berikutan kehadiran haiwan berbisa.
Keselamatan nyawa menjadi keutamaan dalam menghadapi situasi yang disifatkan sebagai rutin tahunan bagi penduduk di kawasan berkenaan.
Seorang lagi mangsa Munah Harun, 64, berkata air banjir yang mula naik seawal 6 pagi pada Rabu lepas memberi sedikit masa kepadanya untuk membantu anaknya mengangkat barangan.
Suri rumah yang berasal dari Pekan, Pahang itu berkata ini adalah kali ketiga beliau berdepan banjir setiap kali datang ke rumah anaknya.
Pengalaman paling buruk berlaku pada 2023 apabila paras air naik sehingga paras bumbung dan hampir menyebabkan semua barangan rosak.
“Saya baru empat bulan tinggal di rumah anak di sini dan tidak menyangka akan berdepan situasi sama, namun saya sudah terbiasa,” katanya.
Simah Tiwan, 48, pula berkata dia terpaksa berpindah bersama suami, adik dan ibunya susulan banjir.
Operator kilang itu berkata antara cabaran utama ketika berpindah ialah memastikan keselamatan ibunya, Janggeh Maji, 74, yang bergerak menggunakan tongkat.
Beliau berkata walaupun berdepan kesukaran, kerjasama ahli keluarga membantu melancarkan perpindahan dan keselamatan menjadi keutamaan.
“Saya bagaimanapun bersyukur kerana kebajikan mangsa di PPS setakat ini berada dalam keadaan baik dan terjaga,” ujarnya.
Sementara itu, jumlah mangsa yang terjejas akibat banjir di Johor kekal 356 orang daripada 93 keluarga setakat 2 petang tadi.
Kesemua mangsa masih ditempatkan di tiga PPS yang beroperasi di daerah Mersing. – Bernama








