the sun malaysia ipaper logo 150x150
Monday, January 26, 2026
26.5 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Penilaian asas Tahun Empat sokong reformasi pendidikan berasaskan data

Pakar pendidikan sokong penilaian asas Tahun Empat sebagai alat diagnostik penting untuk perkuat literasi dan numerasi murid sekolah rendah.

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan penilaian asas di Tahun Empat disifatkan sebagai langkah reformasi penting untuk memperkukuh literasi dan numerasi murid sekolah rendah.

Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain berkata penilaian itu wajar sebagai mekanisme diagnostik bagi mengenal pasti kelemahan pembelajaran murid lebih awal.

Beliau berkata ketiadaan penilaian standard selepas pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) menuntut satu mekanisme yang mampu berikan gambaran jelas tahap penguasaan kemahiran asas murid.

“Pada saya, penilaian tetap perlu supaya kita dapat mengetahui tahap penguasaan sebenar murid,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan pengukuran pembelajaran Tahun Empat akan dilaksanakan mulai 2026.

Penilaian itu akan membabitkan empat mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Anwar menegaskan langkah itu bertujuan mengenal pasti kelemahan murid dalam kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) untuk intervensi lebih awal.

Mohd Izani berpandangan pelaksanaan penilaian asas itu wajar dimulakan melalui projek rintis di kawasan bandar dan luar bandar.

Beliau menekankan kepentingan kesediaan guru dan kefahaman bahawa penilaian tersebut bukan bertujuan memberi tekanan.

“Apa yang penting, penilaian ini tidak seharusnya dilihat sebagai beban atau tekanan, sebaliknya sebagai alat sokongan pembelajaran,” katanya.

Presiden Ikatan Guru Muslim Malaysia (iGuru) Mohd Azizee Hasan berkata cadangan itu selari dengan keperluan pemulihan pembelajaran pasca pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, beliau berkata pelaksanaan penilaian itu tidak boleh bersifat tergesa-gesa atau berorientasikan peperiksaan semata-mata.

“Menerusi penilaian asas ini, data yang sahih dapat dikumpul bagi membolehkan Kementerian Pendidikan merancang program pemulihan yang lebih berfokus,” katanya.

Mohd Azizee turut bersetuju mengenai keperluan melaksanakan projek rintis bagi menguji kesesuaian instrumen penilaian.

Beliau mengingatkan agar keputusan penilaian tidak dijadikan instrumen penilaian prestasi guru atau sekolah.

“iGuru menyokong usaha memperkukuh literasi dan numerasi murid, namun menegaskan bahawa kejayaan dasar ini bukan terletak pada penilaian semata-mata,” katanya.

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories