JPA umum penjawat awam tidak diwajibkan pakai tali leher semasa bekerja dan mesyuarat, kekal wajib bagi majlis rasmi tertentu.
PUTRAJAYA: Semua pegawai awam tidak lagi diwajibkan memakai tali leher semasa waktu bekerja dan ketika menghadiri mesyuarat, menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Arahan tersebut dinyatakan dalam Surat Edaran bertarikh 31 Okt 2025 yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, selaras dengan pendekatan pentadbiran Kerajaan MADANI sejak November 2022 yang menekankan suasana kerja lebih fleksibel dan mesra rakyat tanpa menjejaskan profesionalisme penjawat awam.
BACA: Penjawat awam perlu jujur dan pastikan pendapatan halal – PM
“Dalam mengambil kira realiti iklim tempatan serta keperluan langkah kecekapan dan penjimatan tenaga mengikut Surat Pekeliling Am Bilangan 2 Tahun 2014, kerajaan bersetuju agar semua pegawai awam tidak lagi diwajibkan memakai tali leher semasa bekerja dan ketika menghadiri mesyuarat,” katanya.
Bagaimanapun, Wan Ahmad Dahlan berkata pemakaian tali leher masih diwajibkan bagi majlis rasmi tertentu seperti sambutan ketibaan ketua delegasi asing ke negara ini, serta mesyuarat, kolokium atau persidangan antarabangsa yang melibatkan pemimpin atau pembesar dari luar negara.
BACA: Speaker Dewan Rakyat beri amaran tegas jangan hina penjawat awam
Selain itu, kementerian atau jabatan juga boleh menetapkan keperluan pemakaian tali leher bagi majlis atau program tertentu, dengan syarat perkara tersebut dinyatakan dengan jelas dalam surat atau e-mel jemputan bagi mengelakkan kekeliruan.
JPA turut memaklumkan bahawa selaras dengan ketetapan baharu itu, kewajipan pemakaian tali leher seperti yang dinyatakan dalam Perenggan A.5 Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia (MyPPSM) Ceraian UP.7.2.3 mengenai Etiket Pakaian dan Penampilan Pegawai Awam kini dikecualikan daripada pelaksanaan. – Bernama










