the sun malaysia ipaper logo 150x150
Monday, December 15, 2025
28.7 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Penolong arkitek rugi RM67,789 diperdaya sindiket kerja sambilan palsu

Seorang wanita kerugian RM67,789 selepas diperdaya sindiket kerja sambilan dalam talian yang menawarkan komisen membeli-belah

KUALA TERENGGANU: Seorang penolong arkitek landskap wanita kerugian RM67,789 selepas diperdaya sindiket kerja sambilan palsu secara dalam talian.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata mangsa berusia 20 tahun melihat tawaran kerja di Instagram pada 12 Disember.

Mangsa yang tertarik kemudian menghubungi suspek melalui WhatsApp dan diminta mengisi maklumat peribadi untuk memulakan kerja dengan sebuah syarikat pakaian berjenama.

Mangsa yang berasal dari Kampung Kubang Parit seterusnya diarahkan berhubung dengan rakan suspek melalui Telegram dan membuat bayaran pendaftaran RM10.

Selepas itu, mangsa diminta memasuki satu laman sesawang untuk membeli barangan secara rawak bagi memperoleh komisen.

Bagaimanapun, mangsa perlu membuat bayaran terlebih dahulu dengan janji wang itu akan dipulangkan bersama komisen ke dalam akaunnya.

Azli berkata mangsa pada mulanya gembira apabila menerima pulangan wang dan komisen bagi dua tugasan pertama.

Mangsa yang semakin yakin kemudian menyelesaikan 14 tugasan lain tetapi gagal memperoleh sebarang keuntungan atau pulangan wang seperti dijanjikan.

Mangsa telah membuat pembayaran berjumlah RM67,789 ke lima akaun bank berbeza bagi tugasan yang dilakukan dari 12 hingga 14 Disember.

Mangsa membuat laporan polis pada 10.29 malam semalam selepas gagal mendapatkan pulangan wang dan komisen dijanjikan serta tidak berjaya menghubungi suspek.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories