the sun malaysia ipaper logo 150x150
Tuesday, January 20, 2026
21.4 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Perubahan perundangan perlu sebelum sistem prauniversiti dilaksanakan

Kementerian Pendidikan Tinggi perlu selesaikan perubahan perundangan sebelum ambil alih sistem pendidikan prauniversiti Tingkatan 6 dan Matrikulasi.

PUTRAJAYA: Beberapa perubahan dari segi perundangan perlu diselesaikan sebelum sistem pendidikan prauniversiti yang melibatkan Tingkatan 6 dan Matrikulasi dimulakan pada tahun ini.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata sebelum ini, pengurusan Tingkatan 6 dan Matrikulasi dikendalikan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dan kini ia memerlukan penyesuaian undang-undang sedia ada.

“Kalau sebelum ini, (bagi) Tingkatan Enam dan juga Matrikulasi sistem penilaian itu dilakukan pada peringkat KPM. Untuk melaksanakan itu, maka langkah awal bagi memastikan Tingkatan Enam dan juga Matrikulasi, dilaksanakan pada peringkat pendidikan tinggi, maka kita perlu menyelesaikan dulu dari segi beberapa perubahan undang-undang atau dalam akta yang sedia ada itu nanti,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengambil alih sepenuhnya sistem pendidikan prauniversiti tersebut bermula tahun ini.

Zambry berkata seiring dengan Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035, sistem pendidikan tinggi negara akan merangkumi pendekatan yang lebih luwes, fleksibel dan adaptif.

“Ia tidak lagi terhad kepada bangunan fizikal dan kurikulum khusus. Sebelum ini, pelajar terikat dengan struktur tertentu untuk menamatkan pengajian. Namun kini, pelajar boleh memilih laluan yang lebih terbuka melalui apa yang dipanggil ‘empat kuadran’,” katanya.

Beliau menambah pelajar juga boleh memanfaatkan sistem jukebox dengan mengambil kursus dari universiti berbeza berdasarkan persefahaman antara institusi.

Sementara itu, Zambry berkata KPT akan mengadakan satu permukiman khas bagi memastikan setiap agenda di bawah Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 dapat dilaksana sebaik mungkin.

RPN 2026-2035 ialah langkah reformasi pendidikan bagi membina masa hadapan generasi muda yang lebih adil, berdaya saing dan berteraskan nilai.

Pelan pendidikan baharu itu melibatkan dua kementerian iaitu KPM dan KPT serta merangkumi keseluruhan ekosistem pendidikan negara.

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories