Petronas Dagangan hubungi pelanggan terjejas selepas isi minyak di stesen Petronas Samarahan Expressway, Kota Samarahan, Sarawak.
KOTA SAMARAHAN: Sejumlah kenderaan dilaporkan terjejas selepas mengisi minyak di Stesen Petronas Samarahan Expressway di sini.
Petronas Dagangan Bhd (PDB) dalam kenyataan memaklumkan stesen tersebut telah ditutup sementara untuk siasatan lanjut sebelum beroperasi semula pada hari yang sama.
Syarikat itu memberi jaminan stesen Petronas lain terus beroperasi seperti biasa dan tidak terjejas.
“PDB juga bertindak dengan menghubungi pelanggan yang terjejas dan mengambil langkah-langkah perlu bagi menyelesaikan perkara ini dengan segera,” kata syarikat berkenaan.
PDB memandang serius perkara ini serta memohon maaf dengan ikhlas kepada semua pelanggan terhadap sebarang kesulitan yang timbul.
Untuk bantuan segera, pelanggan boleh menghubungi Mesralink di talian 1-300-88-8181.








