Perdana Menteri Anwar Ibrahim mahu KKR senarai semua projek dan ambil tindakan keras terhadap kontraktor yang lewat siapkan kerja
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Kementerian Kerja Raya (KKR) mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana kontraktor yang bersikap sambil lewa atau gagal melaksanakan projek mengikut jadual.
Beliau menekankan perkara itu penting kerana KKR bertanggungjawab terhadap pelbagai projek pembangunan yang membabitkan kepentingan rakyat.
“Kena sentiasa ada usaha untuk kita percepatkannya kerana misalnya ada orang memerlukan jambatan itu siap pada Januari tetapi tertangguh hingga Februari, sebulan dia derita,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kelewatan projek boleh menyebabkan kesengsaraan kepada rakyat.
Beliau berkata banyak projek infrastruktur bergantung kepada KKR sebagai tonggak kejayaan pembangunan.
“Jadi, kementerian perlu senaraikan semua projek, berapa ratus projek atau mungkin ribu di negara kita,” ujarnya.
Anwar menambah KKR perlu memastikan rekod prestasi kontraktor dan tidak menunggu sehingga projek selesai.
“Kalau asyik sambil lewa dan lambat, kita nak (KKR) ambil sikap lebih keras pada kontraktor,” tegasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan KKR di ibu negara.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Timbalannya Datuk Seri Ahmad Maslan.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar juga hadir dalam majlis tersebut.
Beliau menekankan pemantauan berterusan dan berskala, termasuk projek yang diuruskan di peringkat kerajaan negeri, bagi memastikan pelaksanaan mengikut jadual.
“Kadang-kadang, pegawai yang turun ke bawah lebih tahu apa diperlukan,” katanya.
Anwar berkata inisiatif seperti Kampung Angkat Sejati MADANI diambil bagi mengelakkan terputusnya hubungan antara rakyat dan pemimpin.
Beliau menegaskan Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan semua Ketua Setiausaha Kementerian perlu terus meningkatkan prestasi dari semasa ke semasa.
“Setiap perkembangan, tindakan dan kecekapan kerajaan perlu dapat dirasai rakyat agar keberkesanan pelaksanaan projek tidak dipersoal,” jelasnya.
PM itu merujuk secara khusus keadaan di Sabah, di mana beberapa projek infrastruktur berdepan isu bekalan air, elektrik dan jalan raya.
“Kita baru selesai pilihan raya… sebagai manusia, saya faham mereka marah… menteri silih berganti, kerajaan silih berganti, Perdana Menteri silih berganti tetapi air belum berganti, elektrik pun begitu… jalan berlubang-lubang, jadi mereka resah, belum cukup yakin… saya tak salahkan mereka,” ujarnya.
Anwar mengakui kerajaan telah meluluskan peruntukan pembangunan dan operasi terbesar dalam sejarah untuk Sabah iaitu RM17 billion.
Beliau menyebut peruntukan khusus hampir RM1 billion untuk air dan RM1.2 billion untuk elektrik, namun projek-projek tersebut masih belum siap.
“Jadi, kita kena faham derita mereka, selagi belum siap, dia berasa terpinggir,” tegas Anwar. – Bernama







