the sun malaysia ipaper logo 150x150
Wednesday, December 31, 2025
22.1 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

PM Anwar: Kebebasan bersuara perlu seiring pencerahan, batas Perlembagaan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menegaskan kebebasan bersuara dalam demokrasi mesti dipandu ilmu, adab dan kesedaran terhadap batas Perlembagaan serta nilai bersama dalam masyarakat majmuk.

PUTRAJAYA: Kebebasan rakyat untuk bersuara dalam sistem demokrasi tidak boleh dipisahkan daripada usaha memberikan pencerahan dan kefahaman mengenai batas Perlembagaan.

Demikian ditegaskan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa sesi dialog awam sempena majlis perasmian penutup Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku di sini.

Beliau berkata rakyat berhak menyuarakan pandangan termasuk rasa tidak puas hati namun suara tersebut perlu dipandu dengan ilmu, adab dan kesedaran terhadap nilai kebaikan.

“Sebenarnya kita beri ruang untuk rakyat berhak menyuarakan tetapi saya minta supaya ada pencerahan,” kata Anwar.

Beliau menambah tradisi politik Islam menggariskan bahawa kebebasan datang bersama tanggungjawab dan keupayaan menilai sesuatu perkara secara adil.

Anwar turut menarik perhatian terhadap kelompok yang lantang menentang rasuah tetapi pada masa sama memuliakan pihak yang jelas memberi rasuah.

“Dalam sistem demokrasi ini, orang yang paling bobrok nilainya…dia yang sepatutnya marah kepada orang menerima rasuah tetapi dia boleh mendewakan pula orang yang memberi rasuah secara terang-terangan,” katanya.

Beliau menekankan rakyat perlu memahami Perlembagaan, batasnya serta hukum dalam rukun hidup pelbagai kaum dan negara.

Tanpa kefahaman itu, beliau bimbang masing-masing akan mengikut sentimen sendiri seperti ideologi ekstrem kiri, ekstrem kanan, perkauman tebal atau wilayah yang eksklusif.

Anwar berkata pembinaan negara tidak boleh diasaskan kepada sikap merasakan diri paling benar, paling pintar atau paling cekap.

Sebaliknya, ia memerlukan keterbukaan mendengar pandangan dan kritikan secara sihat.

“Boleh tegur, boleh kritik, boleh bagi cadangan balas…tapi tidak boleh menghina, mendera, mencerca apalagi menipu, menyogok atau memutar belit kenyataan,” tegasnya.

Mengulas isu kos sara hidup, Perdana Menteri berkata kerajaan mendengar dan mengambil maklum teguran rakyat terhadap pelbagai dasar.

Kerajaan telah mengambil langkah dengan membuat dua pengumuman penting termasuk langkah penyasaran subsidi petrol RON95 menerusi program BUDI MADANI RON95.

Menurut beliau, langkah itu membuktikan kerajaan memilih pendekatan berhemat tanpa membebankan rakyat.

“Penurunan ini sangat bermakna kerana ia juga melibatkan tekad politik dan kemampuan ekonomi kita,” katanya.

Selain subsidi bersasar, kerajaan juga memperluaskan program Jualan RAHMAH sebagai langkah segera membantu rakyat yang masih terkesan dengan inflasi.

Anwar berkata inflasi sedikit pun memberi kesan besar kepada golongan berpendapatan rendah menjadikan kos sara hidup antara isu yang ditangani secara serius.

Kerajaan juga mengambil tindakan tegas memerangi kartel, termasuk kartel ayam dan telur yang wujud puluhan tahun.

Penguatkuasaan turut diperkukuh bagi menyekat penyeludupan dan ketirisan yang dianggarkan mencecah RM15.5 billion.

“Patut berilah penghargaan kepada penguatkuasaan…orang kerja, ambil risiko, kerja berat, menyelamatkan RM15.5 billion wang negara. Tetapi ia tidak jadi naratif, yang ada mungkin hal-hal kecil dibebel sepanjang masa,” katanya.

Turut serta pada sesi dialog berkenaan kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories