PM Anwar syor projek ladang ternakan babi di Bukit Tagar dibatalkan atau dipindah ke kawasan lebih baik susulan keresahan penduduk setempat.
BANGI: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesyorkan supaya projek ternakan babi berpusat di Bukit Tagar, Selangor dibatalkan atau dipindahkan ke kawasan baharu.
Beliau berkata akan mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari bagi mendapatkan penyelesaian terbaik berhubung isu itu.
Isu tersebut dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini susulan menimbulkan keresahan rakyat di kawasan berkenaan.
“Saya akan bincang dengan Menteri Besar Selangor dan bagi pandangan supaya kalau boleh batalkan dulu projek itu dan pertimbangkan kalau boleh kawasan yang lebih baik dengan syarat teknologi itu terjamin,” katanya.
Anwar menegaskan meskipun teknologi terbaik digunakan, projek di kawasan yang menimbulkan keresahan tidak wajar diteruskan.
Beliau berkata Kerajaan Persekutuan tetap prihatin walaupun isu tersebut di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
“Kita tidak boleh pandang ringan dan menganggap perkara ini boleh diselesaikan dengan mudah,” kata Perdana Menteri.
Sebelum ini, Amirudin dilapor berkata kerajaan negeri masih belum mengenal pasti lokasi alternatif bagi menggantikan Bukit Tagar.
Bagaimanapun, kerajaan negeri kekal terbuka untuk sebarang perbincangan bagi memastikan pelaksanaan sistem ternakan yang lebih teratur.
Pada 10 Januari lepas, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan dukacita dan tidak bersetuju dengan perancangan kerajaan negeri.
Baginda bertitah pihak istana tidak bersetuju terutamanya wujud kemungkinan membabitkan pengenalan babi berskala besar dan berorientasikan eksport.









