the sun malaysia ipaper logo 150x150
Saturday, December 20, 2025
23.8 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Polis sahkan video tular pelajar tahfiz dirotan berlaku di Kedah

Polis mengesahkan kejadian pelajar tahfiz dirotan warden di Kulim pada September, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

ALOR SETAR: Polis mengesahkan kejadian yang memaparkan seorang pelajar tahfiz dirotan oleh seorang lelaki yang tular di media sosial berlaku di sebuah maahad tahfiz di Sungai Kob, dekat Kulim pada September lepas.

Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata kejadian pada 29 September itu melibatkan seorang murid lelaki berusia 11 tahun.

Kejadian kira-kira 2 pagi itu berlaku apabila seorang lelaki yang dipercayai warden maahad tahfiz itu merotan murid berkenaan kerana telah mengganggu murid-murid lain yang sedang belajar.

Murid yang tinggal di Padang Serai itu baru masuk ke maahad tahfiz berkenaan kira-kira tujuh bulan lepas.

Apabila ibu bapa murid itu mengambil anak mereka, didapati terdapat kesan lebam pada anggota badannya.

Bapa murid itu kemudiannya membuat laporan polis pada 3 Oktober dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan pada awalnya.

Adzli berkata warden lelaki yang berusia 26 tahun itu telah diambil keterangan dan buat masa ini masih belum ada tangkapan dibuat.

Beliau berkata pihaknya yang kemudiannya mendapat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berhubung kejadian itu telah menghantar bukti berkenaan kepada pihak pendakwa raya pada 18 Disember lepas.

Polis sedang menunggu arahan selanjutnya daripada pejabat pendakwa raya.

“Kertas siasatan akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (DPP) bagi cadangan pertuduhan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” katanya.

Seksyen 324 Kanun Keseksaan adalah atas kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda berbahaya.

Terdahulu, tular di laman media sosial satu video berdurasi 48 saat yang memaparkan kejadian berkenaan.

Video itu menunjukkan seorang murid lelaki yang dilihat sedang menahan kesakitan ketika dirotan oleh seorang lelaki di dalam bilik asrama di hadapan rakan-rakannya yang lain.

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories