Polis Marang terima dua aduan kes amang seksual melibatkan pelajar OKU di asrama sekolah, siasatan di bawah Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak
MARANG: Polis menerima dua laporan berhubung dakwaan kes amang seksual terhadap dua pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) di sebuah asrama sekolah di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Marang Supt Sofian Redzuan berkata laporan diterima daripada warden asrama semalam.
Kes pertama melibatkan seorang pelajar OKU pembelajaran berusia 17 tahun yang didakwa cuba diliwat oleh suspek berumur 16 tahun pada 17 November.
Kes kedua pula membabitkan mangsa berusia 13 tahun penghidap ADHD yang didakwa cuba diliwat oleh seorang lagi suspek berumur 16 tahun pada 20 November.
“Setakat ini, kedua-dua suspek itu belum ditangkap,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sofian berkata siasatan akan dilengkapkan terlebih dahulu memandangkan semua suspek dan mangsa berada di asrama yang sama.
Kes disiasat mengikut Seksyen 14(b) dan 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Beliau menyifatkan kejadian itu sebagai kes serius yang melibatkan moral dan perlakuan jenayah dalam kalangan pelajar.
Sofian mengingatkan ibu bapa dan penjaga supaya memberikan lebih perhatian serta memantau pergaulan anak-anak.
Tujuannya adalah untuk mengekang gejala tidak bermoral dalam masyarakat. – Bernama







