Polis serbu 21 premis, tahan 85 individu disyaki terlibat dalam kegiatan perjudian dalam talian dan pelaburan palsu dalam Ops Dadu Mega.
KUALA LUMPUR: Polis menahan 85 individu disyaki terlibat dalam kegiatan perjudian dalam talian menerusi Ops Dadu Mega secara serentak di seluruh negara.
Operasi itu dijalankan dari Sabtu lepas hingga semalam dengan 21 premis diperiksa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M Kumar (gambar) berkata 20 daripada premis itu didapati dijadikan pusat panggilan aktiviti perjudian.
Pusat panggilan itu mengurus dan mempromosikan laman web perjudian, menurut kenyataannya.
Sebuah lagi premis yang diserbu ialah pusat panggilan aktiviti pelaburan tidak wujud yang menyasarkan pelanggan tempatan.
Alat perkakasan komputer, tablet, telefon bimbit dan pelbagai peralatan lain turut dirampas dalam operasi itu.
“Siasatan awal mendapati sindiket terbabit menyasarkan pelanggan tempatan dan luar negara termasuk dari Filipina, China dan Australia,” katanya.
Kesemua yang ditahan terdiri daripada 62 lelaki dan 23 wanita yang dipercayai bertindak sebagai operator serta pegawai khidmat pelanggan.
Daripada jumlah itu, 47 merupakan warga tempatan dan 38 warga asing.
Mereka ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) berkaitan untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4B(a), Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.
Siasatan juga melibatkan Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Kumar berkata sejak 1 Jan pihaknya menyerbu 117 premis yang dijadikan pusat panggilan untuk aktiviti perjudian.
Sebanyak 731 individu telah ditahan berkaitan kegiatan itu sepanjang tempoh tersebut.
“Operasi seperti ini akan terus dipergiat untuk membenteras aktiviti perjudian tanpa lesen,” katanya.
Orang ramai digesa terus menyalurkan maklumat bagi membantu polis membenteras kegiatan ini.








