the sun malaysia ipaper logo 150x150
Wednesday, January 21, 2026
20.3 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150
spot_img

Polis Thailand mohon kerjasama Malaysia kes wanita tokan dadah

Polis Thailand minta bantuan Malaysia cari wanita tokan dadah disyaki lari ke negara itu, susulan rampasan ganja RM1.82 juta di Kelantan.

PASIR MAS: Polis Thailand memohon kerjasama pihak berkuasa Malaysia untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai seorang wanita rakyat Malaysia yang dipercayai menjadi tokan dadah.

Suspek itu disyaki melarikan diri ke Thailand susulan rampasan ganja bernilai RM1.82 juta oleh polis Malaysia awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Sungai Golok Thun Sirikhunt berkata pihaknya setakat ini gagal mengesan suspek yang dikenali sebagai Luna dan berusia lingkungan 30-an.

“Usaha pencarian telah dijalankan di sekitar pekan Sungai Golok, namun sehingga kini pihak kami masih belum menerima sebarang maklumat baharu atau berjaya mengesan suspek,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media Malaysia hari ini menerusi penterjemah tempatan.

Thun Sirikhunt berkata pihaknya telah memohon maklumat lanjut daripada polis Malaysia bagi membantu siasatan dan usaha mengesan suspek.

Maklumat awal mendapati wanita berkenaan dipercayai mempunyai dua kerakyatan.

Pada 11 Jan, Bernama melaporkan polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah di Kelantan dengan menahan tiga lelaki tempatan.

Polis juga merampas 52 kilogram bunga ganja bernilai RM1.82 juta dalam dua siri serbuan di Kuala Krai pada 3 Jan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata sindiket itu aktif sejak September 2024.

Sindiket itu dipercayai didalangi seorang wanita berusia lingkungan 30-an dari negara jiran dan disyaki mempunyai dwikerakyatan.

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories