Polis laporkan proses penamaan calon PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag berjalan lancar tanpa insiden, dengan kerjasama baik semua pihak.
KINABATANGAN: Proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri Lamag berjalan lancar tanpa sebarang insiden.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan Supt Ravi Duraisamy berkata semua pihak memberikan kerjasama yang baik dan mematuhi arahan polis.
“Bagi sekatan lalu lintas pula, pada awal pagi tadi agak sesak kerana pengguna jalan raya menggunakan jalan ini untuk menghantar barang dan sebagainya tapi semua terkawal,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas proses penamaan calon di Dewan Sri Lamag.
PRK Kinabatangan dan Lamag diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Mokhtar Radin pada 5 Disember lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi kedua-dua PRK pada 24 Januari.
Pengundian awal pula dijadualkan pada 20 Januari.








