the sun malaysia ipaper logo 150x150
Thursday, July 23, 2026
26.4 C
Kuala Lumpur
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Rafizi selesai jalani pembedahan tulang belakang, kembali bertugas bulan depan

KUALA LUMPUR: Menteri Ekonomi Rafizi Ramli hari ini memaklumkan beliau baru selesai menjalani pembedahan tulang belakang dan akan menjalani rawatan di hospital bagi tempoh dua minggu lagi sebelum dijangka kembali bertugas bulan depan.

Berkongsi mengenai perkembangan kesihatannya di laman X (Twitter) hari ini, Rafizi berkata sebelum itu beliau telah disahkan mempunyai masalah stenosis, yakni kewujudan tekanan dari slipped disc dan ligamen yang memegang tulang belakang, sehingga ruang saraf mengecil dan ditekan berpanjangan.

“Alhamdulillah, pembedahan untuk memotong sebahagian ligamen dan slipped disc (untuk membuka ruang kepada saraf) berjalan baik, dan saya telah boleh berjalan semula,” kata beliau, yang mengucapkan terima kasih kepada kumpulan pakar merawatnya.

“Terima kasih kepada yang menghantar mesej. Saya selalunya tidak berkongsi mengenai perkara yang saya kira peribadi, seperti masalah kesihatan, tetapi saya juga tahu ada kawan-kawan yang bimbang. Lebih baik saya berkongsi sedikit sebanyak supaya dapat disampaikan kepada mereka yang ambil tahu,“ katanya.

Terdahulu hantaran di Facebook Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, memaparkan kunjungan beliau yang menziarahi Rafizi di sebuah hospital, menimbulkan tanda tanya mengenai keadaan kesihatan Ahli Parlimen Pandan itu yang pernah mengalami serangan jantung pada Okt lepas.

Mengulas punca masalah tulang belakang yang dihadapinya, Rafizi berkata beliau dijangkiti Covid-19 buat kali pertama pada minggu ketiga bulan ini dan terlantar beberapa hari, sekali gus menyebabkan tekanan ke atas tulang belakang sehingga berlaku slipped disc.

“Keadaannya memuncak selepas beberapa minggu sehinggakan saya tidak lagi boleh berjalan dan terpaksa menggunakan kerusi roda. Sakitnya memang ke langit,“ katanya.

Rafizi pada masa sama memaklumkan beliau juga akan kembali bersiaran pada siri audio siar Yang Bakar Menteri (YBM) pada Mac, malah terbuka untuk bersemuka dengan bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Isham Jalil dan MT Umno Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang menawarkan diri untuk bertemunya.

“Namun seperti tertib di dalam sesebuah organisasi, saya wajar mendapat maklum balas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terlebih dahulu, saya wajar menghormati pandangan mereka, demi menjaga keutuhan Kerajaan MADANI,” katanya. – Bernama

STAY AHEAD OF THE CURVE

Join our community for instant updates and exclusive content.

Join Telegram Channel

Related


spot_img

Latest News

Lebanon and Israel set for next talks in Italy

Lebanon and Israel will hold their next US-brokered talks in Italy on August 4 as both sides begin implementing a plan for Israeli withdrawals and Lebanese army deployments.

Most Viewed

spot_img
WC26

World Cup 2026

Updates, Fixtures, Results & Standings