RAFOC menegaskan kesalahan individu tidak boleh samakan dengan kegagalan institusi ATM, seru ketelusan dan akauntabiliti pulih kepercayaan awam
KUALA LUMPUR: Persatuan Kor Pegawai-Pegawai Bersara Angkatan Tentera (RAFOC) menegaskan maruah Angkatan Tentera Malaysia (ATM) perlu terpelihara dan kesalahan individu tidak boleh disamakan dengan kegagalan keseluruhan institusi.
Presiden RAFOC Lt Jen (B) Datuk Seri Dr Abdul Aziz Ibrahim berkata isu rasuah yang melibatkan pegawai kanan ATM yang masih berkhidmat bukan sahaja mencalarkan imej individu terbabit, malah menghakis kepercayaan rakyat.
Beliau berkata veteran yang rapat dengan masyarakat juga kini dipandang serong, seolah-olah mereka turut bertanggungjawab terhadap salah laku yang berlaku hari ini.
“Ketelusan, ketegasan dan akauntabiliti adalah asas kepada kepercayaan awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Abdul Aziz menegaskan tanpa tindakan berprinsip, ruang akan terbuka kepada budaya ‘ATM bashing’, kejatuhan moral anggota yang masih berkhidmat secara jujur serta kerosakan imej jangka panjang institusi pertahanan negara.
Beliau menegaskan profesionalisme ATM yang dihormati hari ini adalah hasil pengorbanan generasi anggota dan veteran terdahulu.
Pengorbanan itu termasuk mereka yang cedera, gugur atau terkorban dalam operasi mempertahankan kedaulatan negara, seperti semasa konfrontasi dan memerangi insurgensi komunis.
Sehubungan itu, veteran akan terus memainkan peranan mempertahankan maruah institusi dengan membezakan antara individu dan sistem.
Mereka juga akan menyokong pembaharuan kepimpinan beretika serta melindungi anggota bawahan yang masih berkhidmat dengan penuh integriti.
“ATM bukan milik individu, dan bukan juga milik satu generasi sahaja, sebaliknya ia adalah amanah negara,” katanya.
Abdul Aziz menambah veteran adalah penjaga nilai, saksi sejarah dan benteng terakhir profesionalisme ketenteraan.
“Jika veteran memilih untuk berdiam diri hari ini, krisis kepercayaan yang wujud akan diwarisi generasi ATM masa hadapan,” katanya.
Beliau menegaskan kegagalan itu tidak boleh diterima oleh sesiapa yang pernah mengangkat sumpah mempertahankan tanah air.








