Datuk Seri R. Ramanan kini menteri penuh Kementerian Sumber Manusia selepas dua tahun sebagai timbalan menteri dalam rombakan kabinet kedua.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri R. Ramanan dilantik sebagai menteri penuh untuk menerajui Kementerian Sumber Manusia.
Pelantikan itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini di Putrajaya sebagai sebahagian rombakan Kabinet Kerajaan MADANI.
Sebelum ini, Ramanan merupakan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi sejak Disember 2023.
Ramanan, 44, merupakan Ahli Parlimen Sungai Buloh yang mencipta kejutan pada PRU-15 apabila menewaskan bekas Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Dilahirkan pada 11 Feb 1981, beliau merupakan cucu kepada tokoh politik Tan Sri Devaki Krishnan.
Beliau juga pernah menerajui Jawatankuasa Khas Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) pada 2023.
Ramanan berkelulusan ijazah teknologi kejuruteraan (mekanikal) dari Queensland University of Technology, Australia.
Beliau mula bergiat dalam politik bersama MIC pada pertengahan 2000-an dan memegang beberapa jawatan penting dalam parti.
Pada 16 Dis 2013, beliau dilantik sebagai Bendahari Agung MIC sebelum meletakkan jawatan pada 2014.
Susulan krisis politik ‘Langkah Sheraton’ pada 2020, Ramanan menyertai PKR dan aktif dalam struktur parti.
Beliau kini memegang jawatan sebagai Naib Presiden PKR.
Ramanan turut pernah berkhidmat sebagai pembantu kepada bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor.
Beliau juga pernah memimpin organisasi masyarakat termasuk Persatuan Pelajar India Malaysia (MISA).
Ini merupakan rombakan Kabinet kali kedua di bawah pentadbiran Anwar selepas rombakan pertama pada 12 Dis 2024.
Kerajaan Perpaduan dibentuk pada Disember 2022. – Bernama







