Timbalan Menteri KUSKOP R. Ramanan umum peruntukan RM471.5 juta, lahirkan 20,000 usahawan India baharu melalui pelbagai inisiatif drastik.
KUALA LUMPUR: Datuk Seri R. Ramanan melaksanakan reformasi berskala besar dengan peruntukan melebihi RM471.5 juta sepanjang dua tahun berkhidmat di Kementerian Pembangunan Usahawan Koperasi.
Timbalan Menteri itu berkata pendekatan drastik itu membuka lembaran baharu dalam pemerkasaan sosioekonomi usahawan komuniti India.
Inisiatif berimpak tinggi itu berjaya melahirkan dan memperkasakan lebih 20,000 usahawan India di seluruh negara.
“Segala inisiatif yang telah dilaksanakan setakat ini merupakan langkah drastik yang bersejarah dan tidak pernah dilakukan sebelum ini,” katanya kepada Bernama.
Ramanan menegaskan fokus utama beliau ialah mengangkat martabat ekonomi golongan berkenaan melalui asas yang kukuh.
Beliau berkata tumpuan khusus diberikan kepada usahawan kecil, wanita, belia serta komuniti India yang memerlukan sokongan menyeluruh.
Program strategik utama termasuk SPUMI dan SPUMI Goes Big di bawah TEKUN Nasional dengan dana RM100 juta.
Inisiatif lain ialah Program Pemerkasaan Usahawan Wanita India dan Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-I masing-masing dengan peruntukan RM100 juta.
Ekosistem keusahawanan turut diperkukuh menerusi Vanigham dan Vanigham Plus di bawah SME Bank dengan peruntukan RM50 juta.
Geran Padanan I-BAP SME Corp, SOORIAN oleh PERNAS serta Geran Pembangunan Bakti MADANI SKM turut menyokong pencapaian itu.
Pengerusi Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia Datuk Seri N. Gobalakrishnan menyifatkan kepimpinan Ramanan mencorak harapan baharu.
“MAICCI cukup teruja dengan komitmen beliau yang cukup kuat dan mendalam untuk membantu usahawan komuniti India,” katanya.
Gobalakrishnan berkata pembangunan ekonomi sebenar dinilai melalui perubahan nyata dalam kehidupan rakyat.
Beliau memuji Ramanan sebagai pemimpin yang sentiasa menyantuni semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum.
Pengusaha Sanwa Tours Sathies Supramaniam mengakui impak reformasi itu membolehkannya mengembangkan perniagaan.
“Melalui pembiayaan ini, perniagaan saya telah mula berkembang,” katanya mengenai inisiatif Vanigham SME Bank.
Ramanan menegaskan komitmennya untuk terus mendengar suara rakyat serta memastikan agenda ekonomi yang inklusif.







