the sun malaysia ipaper logo 150x150
Friday, December 5, 2025
26.2 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

Reruai tukar topi keledar, minyak enjin percuma diserbu pengunjung rancakkan MADANI

Reruai tukar topi keledar dan minyak enjin motosikal percuma diserbu pengunjung hari pertama Program Rancakkan MADANI di Dataran Putrajaya

PUTRAJAYA: Penukaran topi keledar dan minyak enjin motosikal percuma mendapat sambutan luar biasa pengunjung hari pertama Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 (Program Rancakkan MADANI) di Dataran Putrajaya hari ini.

Tinjauan Bernama mendapati orang ramai mula beratur sejak pagi di dua reruai itu yang terletak bersebelahan bagi menukar topi keledar lama kepada baharu manakala perkhidmatan menukar minyak hitam dikendalikan pelajar kolej kemahiran.   

Turut menerima sambutan ialah pendaftaran percuma program MyLesen B2 oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan pendaftaran aplikasi MyDigital ID. 

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata penganjuran program itu bertepatan dengan harapan rakyat yang mahu Kerajaan MADANI mengotakan janji melaksanakan perubahan dan reformasi dalam perkhidmatan awam. 

“Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah memainkan peranan penting dalam usaha penambahbaikan perkhidmatan awam. 

“Ini termasuk penglibatan langsung dalam penyediaan Pekeliling bagi Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan (ILTIZAM), pembangunan Indeks Prestasi Perkhidmatan Awam dan modul Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA),” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, pengunjung Azmi Ahmad, 39, dari Kajang, Selangor berkata tiba di Putrajaya pada 7 pagi untuk mendapatkan topi keledar percuma selepas mengetahui program itu menerusi media sosial. 

“Tak sangka ramai yang hadir dan beratur sejak awal pagi,” katanya. 

Mujahid Yusof, 23, pula berkata selain menukar topi keledar, dia amat menunggu perkhidmatan tukar minyak hitam percuma kerana menjimatkan kos penyelenggaraan motosikal. 

“Alhamdulillah, dua tempat tukar minyak hitam dan topi keledar berdekatan, sekali gus menyenangkan kami yang mahu mendapatkan perkhidmatan ini,” katanya.

Program Rancakkan MADANI selama tiga hari bermula hari ini, menampilkan lebih 300 perkhidmatan sentuhan rakyat, karnival kerjaya, pameran interaktif, hiburan keluarga dan pelbagai tawaran istimewa untuk orang ramai.

Program berskala nasional anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) itu menyasarkan kehadiran 300,000 pengunjung dan berlangsung dari 9 pagi hingga 10 malam pada Jumaat dan Sabtu manakala 9 pagi hingga 6 petang pada Ahad.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan pada 11 pagi 7 Dis.

Program Rancakkan MADANI merupakan kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI dan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI yang menjadi tradisi pelaporan tahunan kerajaan secara terus kepada rakyat.

Turut diadakan serentak dengan program itu ialah Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 melibatkan pemikir dasar dalam kalangan penjawat awam dan pemain industri. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories