Pengarah kejurulatihan beregu negara Rexy Mainaky sedia meletak jawatan selepas skuad badminton Malaysia hanya meraih satu emas di Sukan SEA 2025
BANGKOK: Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara Rexy Mainaky bersedia mengambil tanggungjawab susulan kegagalan anak buahnya mencapai sasaran empat emas di Sukan SEA Thailand 2025.
Rexy berkata tanggungjawab itu termasuk melepaskan jawatan sekiranya menerima desakan selepas gagal membantu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membawa pulang empat pingat emas.
“Kalau bercakap mengenai tanggungjawab, pasti ada pihak yang akan berkata kamu harus meletak jawatan, jadi saya sedia,” katanya kepada pemberita.
Beliau menegaskan Sukan SEA mempunyai prestijnya tersendiri dan tanggungjawab itu sedia dipikul.
Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah muncul satu-satunya wakil badminton negara yang merangkul emas selepas menewaskan gandingan Indonesia.
Kejayaan itu menamatkan penantian sedekad Malaysia untuk pingat emas beregu wanita di Sukan SEA.
Pemain beregu lelaki Aaron Chia tidak bersetuju sekiranya Rexy melepaskan jawatan.
Aaron sedar pakar jurulatih dari Indonesia itu mempunyai tanggungjawab besar memantau prestasi tiga sektor di bawahnya.
Katanya sekarang bukan masa menuding jari dan lebih baik semua pihak bekerjasama mencari jalan penyelesaian.
Aaron bersama pasangan Soh Wooi Yik hanya merangkul perak selepas tewas di pentas final kepada beregu Indonesia.
Juara dunia beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei pula gagal ke final selepas tewas kepada pasangan tuan rumah pada separuh akhir.
Pasukan badminton negara menamatkan kempen Sukan SEA Thailand 2025 dengan satu emas, dua perak dan enam gangsa. – Bernama







