KUALA LANGAT: Sebanyak 1.79 juta ringgit telah disalurkan kepada persatuan dan syarikat di Selangor bagi membantu menyemarakkan industri seni dan warisan kebudayaan tahun ini.
Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Mohd Amran Mohd Haris menyatakan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya telah menyalurkan 1.7 juta ringgit kepada 23 persatuan dan syarikat seni di Selangor melalui Geran Sokongan Sektor Kebudayaan.
Beliau menambah sebanyak 95,000 ringgit lagi disalurkan kepada 18 persatuan seni budaya di negeri berkenaan di bawah Bantuan Insentif Seni Kewangan JKKN.
“Untuk rekod, pada tahun 2024, sebanyak 3.5 juta ringgit sahaja telah disalurkan kepada 63 permohonan persatuan dan syarikat seni budaya bagi melaksanakan program di negeri Selangor,“ katanya.
MOTAC amat menitikberatkan penyemarakan program berbentuk seni budaya di seluruh negara memandangkan sokongan masyarakat diperlukan untuk menjadikan bidang tersebut penyumbang ekonomi.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata Selangor kekal menjadi tumpuan kepelbagaian budaya dan seni yang menjadi kekuatan negeri dalam sektor pelancongan.
Beliau menyatakan kepelbagaian itu disumbangkan oleh trend migrasi berskala besar sejak ratusan tahun yang membawa adat dan budaya setiap etnik.
“Sebagai contoh, pada 2018, angka penduduk meningkat kepada 6.8 juta dan hari ini Selangor mencatatkan lebih 7.4 juta penduduk,“ katanya.
Amirudin menekankan prinsip meraikan kebudayaan lain selagi tidak menggugat kestabilan, keamanan dan kemakmuran negara berdasarkan Perlembagaan Persekutuan. – Bernama








