Tuesday, November 11, 2025
29.4 C
Malaysia
the sun malaysia ipaper logo 150x150

RM2.03 bilion bantuan JKM disalur kepada 562,116 penerima setakat Ogos

JKM salur RM2.03 bilion kepada 562,116 penerima bantuan dari Januari hingga Ogos 2024, dengan warga emas kumpulan tertinggi.

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM2.03 bilion telah disalurkan kepada 562,116 penerima bantuan kebajikan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dari Januari hingga Ogos tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata daripada jumlah itu, 267,036 penerima adalah lelaki manakala 295,080 adalah wanita.

Berdasarkan statistik JKM, tahun 2022 mencatatkan 533,167 penerima bantuan dengan peruntukan RM2.46 bilion.

Pada 2023, jumlah penerima meningkat kepada 543,811 orang dengan peruntukan RM2.53 bilion.

Beliau menjawab soalan Zahari Kechik mengenai pecahan bantuan JKM mengikut jantina, umur, kaum dan kos dari 2022 hingga 2025.

Bagi pecahan etnik penerima bantuan hingga Ogos, Nancy menyatakan 316,471 penerima terdiri daripada kaum Melayu.

Seramai 92,749 penerima adalah kaum Cina, 61,833 India, 1,124 Peribumi Semenanjung, 44,969 Peribumi Sabah, 39,398 Peribumi Sarawak dan 5,621 daripada etnik lain.

Kumpulan umur tertinggi penerima bantuan JKM ialah warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Seramai 248,831 penerima mendapat Bantuan Warga Emas (BWE).

Menjawab soalan tambahan mengenai golongan rentan yang layak tetapi tidak menerima bantuan, Nancy menjelaskan setiap permohonan dinilai secara teliti.

“Berdasarkan penilaian dan siasatan dilaksanakan oleh pegawai JKM, terdapat permohonan tidak menepati syarat kelayakan bagi mendapatkan bantuan JKM,” katanya.

Antara faktor penolakan termasuk pemohon bukan warganegara Malaysia dan pendapatan keluarga melebihi had kelayakan.

Faktor lain mempunyai anak dewasa yang bekerja, masih sihat dan berupaya bekerja serta mempunyai sumber pendapatan sampingan.

Bagaimanapun, Nancy berkata JKM menyediakan pelbagai saluran bagi memudahkan permohonan, termasuk secara dalam talian.

“Kita ada cara juga, boleh mohon secara dalam talian dan pegawai kita akan turun padang untuk mengesahkan permohonan tersebut,” ujarnya.

Beliau menambah pemohon yang tidak mampu hadir boleh mewakilkan permohonan mereka. – Bernama

Related

spot_img

Latest

Most Viewed

spot_img

Popular Categories