Rancangan Pendidikan Negara 2026-2035 utamakan TVET dan STEM dari Tingkatan Satu, lonjak kebolehpekerjaan graduan ke 99.5%.
PUTRAJAYA: Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET) akan diarusperdanakan melalui Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026–2035.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (gambar) berkata ini selaras usaha kerajaan memperkukuh pembangunan tenaga mahir bagi memenuhi keperluan industri masa depan.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata penekanan terhadap TVET dan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) diperkenalkan seawal Tingkatan Satu.
Langkah ini dilihat dapat membina asas kemahiran teknikal pelajar lebih awal serta meningkatkan minat terhadap bidang berteraskan teknologi.
Kadar kebolehpekerjaan lepasan TVET meningkat daripada 91.5% kepada 99.5%.
“Ini adalah satu lonjakan yang amat baik, ertinya TVET akan diarusperdanakan melalui RPN,” katanya ketika diminta memberikan reaksi mengenai RPN yang dilancarkan Perdana Menteri.
Ahmad Zahid berkata RPN merupakan lonjakan untuk melakukan perubahan besar-besaran kepada sistem pendidikan negara.
Beliau berkata kerajaan memperlihatkan komitmen apabila di peringkat sekolah rendah, ujian dimulakan di peringkat Darjah Empat.
Manakala untuk sekolah menengah, ujian itu dimulakan di Tingkatan Tiga.
Bagi pendidikan tinggi, tumpuan utama diberikan bagi memastikan tidak berlaku ketidakselarasan antara bidang pengajian dengan alam pekerjaan.
Ini selaras dengan keperluan pasaran buruh semasa.
“Dari segi ini, kita lihat penarasan telah dilakukan dengan sebaik-baiknya dan tumpuan kepada soal bahasa dan sejarah turut diberikan penekanan,” katanya.
Penekanan itu termasuk bagi pengambilan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah untuk sekolah agama dan tahfiz.
“Saya yakin sistem ini juga melibatkan sekolah-sekolah pondok,” katanya.
RPN 2026–2035 merupakan langkah reformasi pendidikan bagi membina masa depan generasi muda yang lebih adil, berdaya saing dan berteraskan nilai.
Pelan pendidikan baharu itu membabitkan dua kementerian iaitu Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi.
Ia adalah rancangan strategik pendidikan nasional yang merangkumi keseluruhan ekosistem pendidikan negara daripada peringkat sekolah hingga pendidikan tinggi.








