Kerajaan Selangor akan banteras pembuangan sampah haram dengan tindakan tegas, peruntukan RM10 juta dan kerjasama semua pihak bagi pastikan persekitaran lebih bersih.
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan membanteras habis-habisan isu pembuangan sampah haram di seluruh negeri tahun ini.
Langkah itu melibatkan tindakan lebih tegas, penyelarasan menyeluruh dan peruntukan khas bagi memastikan persekitaran lebih bersih.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata langkah itu diambil susulan tuntutan rakyat yang mahukan respons lebih pantas.
Beliau menegaskan isu pengurusan sampah tidak boleh lagi diselesaikan dengan sikap saling menyalahkan antara agensi.
“Kita akan pastikan tiada lagi kawasan pembuangan sampah haram di Selangor.
Saya akan turun sendiri bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan semua pihak berkaitan untuk membanteras isu ini secara menyeluruh,” katanya.
Beliau menuntut kerjasama erat antara KDEB Waste Management (KDEBWM), PBT serta semua pihak berkaitan.
Tujuannya adalah bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Kita tidak boleh lagi beralih tanggungjawab. Masalah ini perlu diselesaikan secara bersama dan mereka yang tidak bertanggungjawab akan dikenakan tindakan tegas,” tegasnya lagi.
Sebagai langkah konkrit, kerajaan negeri memperuntukkan RM10 juta di bawah Inisiatif Khas Kita Selangor 2026.
Peruntukan itu adalah bagi kerja pembersihan dan pengindahan kampung-kampung di seluruh Selangor.
Kerajaan negeri juga optimis dengan pendekatan tegas dan kerjasama menyeluruh.
Kemudahan baharu seperti loji Waste to Energy (WTE) yang dijadualkan siap pada Mac 2026 dijangka membantu mencapai persekitaran yang lebih lestari.
Dalam sidang media berasingan, Amirudin berkata operasi pembersihan akan memberi tumpuan kepada kawasan titik panas.
Kawasan tersebut termasuk daerah Hulu Langat serta kawasan aktiviti inap desa dan chalet yang sering menerima aduan.








