Seorang wanita dibebaskan mahkamah daripada pertuduhan mengabaikan kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun selepas pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah.
IPOH: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang wanita daripada pertuduhan mengabaikan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun pada 2023.
Hakim Ainul Shahrin Mohamad membuat keputusan itu terhadap Norriza Khamis, 48, selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah.
Norriza didakwa meninggalkan kanak-kanak itu tanpa persediaan pengawasan yang munasabah di sebuah rumah di Taman Putra Permai 2 pada 24 Julai 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum RM20,000 atau penjara lima tahun.
Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R.S. Vitthiyeswary manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Khazali Yin dan Mahinderjit Singh.
Perbicaraan dari 19 Mac hingga 17 Dis 2025 melibatkan lapan saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan termasuk Norriza.
Semasa ditemui, Norriza memberitahu sangat bersyukur dan berasa lega dengan keputusan tersebut.








