PUTRAJAYA: Bayaran sewa bagi kediaman sementara penduduk Kampung Sungai Baru di Kuala Lumpur akan ditanggung sepenuhnya oleh pemaju sehingga projek perumahan baharu di kawasan tersebut siap dibina.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata penduduk yang setuju berpindah kini tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau rumah sewaan di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Beliau berkata langkah itu merupakan sebahagian daripada komitmen pemaju bagi menjaga kebajikan penduduk terbabit.
“Kos sewanya ditanggung pemaju sehingga mereka kembali ke kediaman baharu nanti,“ katanya pada sidang media khas di Putrajaya.
Zaliha menekankan bahawa isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru merupakan antara legasi tertunggak sejak lebih sembilan tahun yang lalu dan kini diberi perhatian serius oleh Kerajaan MADANI.
Proses pengambilalihan tanah tersebut bermula sejak 2021 menerusi notis di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 iaitu sebelum pentadbiran kerajaan MADANI.
Kerajaan kini berusaha menyelesaikan isu tersebut dengan kaedah yang lebih menyeluruh serta adil kepada semua penduduk yang terlibat.
Lebih 70 peratus penduduk telah bersetuju dengan pelan pembangunan semula manakala bakinya sekitar 28 peratus masih menolak terutamanya kerana tidak berpuas hati terhadap isu pampasan.
Bagi penduduk yang masih tidak bersetuju, proses mahkamah sentiasa terbuka untuk dirujuk mengikut prosedur undang-undang yang sedia ada.
Zaliha menegaskan bahawa dakwaan kononnya pembangunan itu akan mengeluarkan masyarakat Melayu dari kawasan bandar adalah tidak benar sama sekali.
Penduduk akan kembali ke kawasan asal mereka selepas rumah siap dibina dengan kediaman yang lebih selesa dan moden.
Reka bentuk kediaman baharu akan mengekalkan identiti Melayu dengan elemen seni bina tempatan seperti yang diminta oleh penduduk.
Pandangan penduduk turut diambil kira termasuk penyediaan lif yang boleh memuatkan keranda bagi memudahkan urusan apabila berlaku kematian. – Bernama









