Kerajaan jamin siasatan semula kehilangan Amri Che Mat dan Raymond Koh dilaksanakan secara telus dan bebas tanpa sebarang campur tangan
KUALA LUMPUR: Siasatan semula terhadap kehilangan aktivis Amri Che Mat dan paderi Raymond Koh akan dijalankan secara telus serta bebas daripada sebarang campur tangan.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan kerajaan beriltizam melaksanakan sepenuhnya arahan mahkamah supaya kes berkenaan disiasat semula.
“Kerajaan ini menghormati prinsip kedaulatan undang-undang dan komited untuk mencari kebenaran dan menegakkan keadilan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.
Beliau menekankan kerajaan tidak mempunyai sebarang niat untuk melindungi mana-mana pihak dalam proses siasatan ini.
Polis Diraja Malaysia telah segera menubuhkan pasukan penyiasat walaupun siasatan sebelum ini tidak pernah ditutup.
Pasukan penyiasat kali ini akan diketuai oleh seorang pegawai polis berpangkat ACP.
Mereka akan meneliti semua kertas siasatan awal, laporan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia, laporan pasukan petugas khas dan mendapatkan keterangan baharu.
Saifuddin Nasution mengajak mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kes ini untuk tampil membantu pihak polis.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Syed Ibrahim Syed Noh mengenai keputusan mahkamah berkaitan Amri dan Koh serta langkah seterusnya kerajaan.
Soalan turut menyentuh prosedur operasi standard dan kewibawaan siasatan PDRM sebagai agensi penguat kuasa terbesar negara.
Saifuddin berkata polis telah diarah mengemukakan laporan perkembangan siasatan kepada Peguam Negara setiap dua bulan.
Mahkamah pada 5 November lalu memerintahkan kerajaan membayar ganti rugi RM3.3 juta kepada isteri Amri, Norhayati Mohd Ariffin, dan lebih RM37 juta kepada isteri Koh, Susanna Liew.
Amri dilaporkan hilang pada 24 November 2016 manakala Pastor Koh dilaporkan hilang pada 13 Februari 2017.
Mahkamah turut memerintahkan penalti RM10,000 sehari sekiranya keberadaan Koh gagal dikemukakan.
Saifuddin menegaskan kerajaan kekal menghormati keputusan mahkamah dan melaksanakan perintah siasatan semula walaupun Peguam Negara memutuskan untuk merayu.
“Peguam Negara sebagai penasihat undang-undang kerajaan berpendapat ada asas untuk membuat rayuan termasuk perkara yang membabitkan komitmen kewangan,” katanya di Parlimen.
Beliau menekankan keputusan tidak merayu permohonan isteri Amri bagi mendapatkan laporan pasukan petugas khas 2023 membuktikan ketelusan kerajaan.
“Kalaulah Kementerian Dalam Negeri ini nak melindungi, waktu itu kita boleh arah Peguam Negara supaya merayu, tetapi kita tidak buat begitu,” jelasnya.
Secara statistik, sembilan daripada 10 laporan orang hilang di Malaysia berjaya diselesaikan manakala satu kes kekal tidak ditemukan.
Menjawab soalan mengenai undang-undang kehilangan paksa, Saifuddin berkata undang-undang sedia ada memadai tanpa perlu penggubalan baharu.
Beliau turut menjelaskan perbezaan kuantum pampasan antara kedua keluarga berpunca daripada asas tuntutan undang-undang yang berbeza.
“Bagi Paderi Koh, keluarganya menggunakan asas tuntutan kehilangan paksa sebagaimana laporan Suhakam, manakala isteri Amri tidak menggunakan asas itu,” katanya. – Bernama






