Persatuan Silat Cekak Malaysia buka kelas di Sydney, Australia, dan lahirkan hampir 1,000 pelajar muda melalui Program Tunas Cekak di 34 sekolah
ALOR SETAR: Kejayaan Persatuan Silat Cekak Malaysia (PSSCM) membuka kelas di Sydney, Australia membuktikan warisan seni bela diri Melayu itu boleh diajar kepada semua golongan.
Guru Utama PSSCM Datuk Maideen Kadir Shah berkata usaha itu adalah misi persatuan untuk mengembangkan silat ke peringkat antarabangsa dan memartabatkan warisan budaya Melayu.
“Sesiapa pun boleh belajar Silat Cekak dan kita dah pun ada kelas Silat Cekak di Sydney, Australia,” katanya kepada pemberita pada Program Demonstrasi Perdana Silat Melayu Warisan Kedah.
Beliau berkata silibus diajar di Australia sedikit berbeza kerana dalam silat ada hal berkaitan agama.
Program itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Kedah Datuk Mohd Salleh Saidin sempena Sambutan Jubli Intan Silat Cekak.
Kira-kira 3,000 ahli persatuan dari seluruh negara hadir menyaksikan pelbagai persembahan silat serta sejarah ilmu persilatan sejak 60 tahun lalu.
Maideen berkata sambutan itu menjadi platform terbaik untuk memperkenalkan seni warisan kepada generasi muda dan pelancong.
Di peringkat tempatan, PSSCM memperkenalkan Program Tunas Cekak sejak 2022 yang telah melahirkan hampir 1,000 pelajar seawal usia tujuh tahun.
Program itu telah dilaksanakan di 34 sekolah seluruh negara selain kelas latihan di cawangan negeri.
“Silibus kami disesuaikan supaya anak-anak boleh belajar tanpa perlu menunggu umur 16 tahun,” jelas Maideen.
Beliau menambah nilai disiplin, akhlak baik dan kasih sayang yang diajar di kelas silat dapat membentuk jati diri anak-anak.
Salleh berkata kerajaan negeri sentiasa menyokong penuh usaha PSSCM dalam memartabatkan seni warisan melalui nilai disiplin, akhlak dan budaya.








