Banjir di Selangor, Perak, Perlis dan Pahang menunjukkan perkembangan positif dengan penurunan jumlah mangsa dan penutupan pusat pemindahan
KUALA LUMPUR: Situasi banjir di empat negeri menunjukkan perkembangan positif petang ini dengan Selangor, Perak, Perlis dan Pahang merekodkan penurunan ketara jumlah mangsa.
Di Selangor, jumlah mangsa menurun kepada 616 orang petang ini berbanding 896 mangsa pagi tadi.
Sembilan pusat pemindahan sementara (PPS) masih beroperasi di Hulu Langat, Kuala Selangor dan Sabak Bernam, dengan Kuala Selangor merekodkan mangsa tertinggi iaitu 474 orang.
Sementara itu, di Perak, jumlah mangsa di tiga daerah berkurangan kepada 1,674 orang yang masih berlindung di 12 PPS.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Perak memaklumkan banjir di Larut Matang dan Selama pulih sepenuhnya dengan penutupan satu PPS.
PPS di Hilir Perak masih dihuni 880 orang, manakala Bagan Datuk merekodkan 459 mangsa dan Manjung kekal 335 orang.
Di Perlis, jumlah mangsa banjir menurun kepada 20 orang dengan penutupan satu PPS bagi kawasan Arau.
Hanya satu PPS masih beroperasi di Padang Besar untuk menempatkan mangsa di SK Felcra Lubuk Sireh.
Banjir di Pahang juga semakin pulih dengan hanya 14 orang berada di sebuah PPS di Kuantan.
Menurut Sekretariat JPBN Pahang, banjir di Raub pulih selepas 106 penduduk di empat PPS telah pulang ke rumah masing-masing. – Bernama







