DUN Melaka mungkin dibubarkan awal sebelum tamat penggal Disember ini, kata penganalisis, sebagai strategi politik kerajaan semasa.
MELAKA: Spekulasi mengenai pembubaran awal Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kembali hangat diperkatakan sebelum tamat tempoh penggalnya pada 26 Disember ini.
Ura-ura itu timbul susulan kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjangkakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dalam tempoh dua hingga 10 bulan akan datang.
Pensyarah kanan UiTM Cawangan Melaka Dr Shafezah Abdul Wahab berkata tiada keperluan perlembagaan mendesak untuk PRN diadakan dalam masa terdekat.
Beliau berkata sebarang pembubaran awal lebih berkait dengan strategi politik kerajaan semasa, bukan keperluan undang-undang.
“Jika melihat pola sebelum ini, waktu yang sering dianggap selesa untuk diadakan PRN ialah selepas sambutan Aidilfitri dan sebelum hujung tahun, sekitar Jun hingga Ogos,” katanya.
Shafezah menambah pembubaran awal berisiko kepada kerajaan sekiranya mood pengundi belum benar-benar memihak.
Mengulas potensi Barisan Nasional (BN) mengekalkan penguasaan, beliau berkata parti itu masih mempunyai peluang cerah.
Bagaimanapun, pemilihan calon perlu menampilkan individu berwibawa dengan naratif tempatan yang meyakinkan.
Cabaran utama BN adalah memastikan prestasi pentadbiran dirasai penduduk dalam isu kos sara hidup dan peluang pekerjaan.
“Kestabilan semata-mata belum tentu mencukupi sekiranya hasil pentadbiran itu tidak sampai dan dirasai oleh pengundi,” tegasnya.
Berdasarkan corak pentadbiran Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Melaka dilihat lebih berhati-hati dengan memberi tumpuan kepada kestabilan.
Shafezah berkata momentum parti-parti pembangkang di peringkat negeri masih belum benar-benar kukuh untuk membolehkan mereka diangkat sebagai pentadbir.
Namun, mereka berpotensi menjadi pencabar sekiranya berjaya memanfaatkan isu nasional dan sentimen generasi muda.
“Jika berlaku pertembungan satu lawan satu di beberapa kerusi strategik, BN tidak boleh memandang ringan cabaran ini,” katanya.
PRN Melaka sebelum ini diadakan pada 20 November 2021, menyaksikan BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN.
PRN 2021 tercetus selepas empat ADUN menarik sokongan terhadap Ketua Menteri ketika itu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.








