SPRM beku 21 akaun bank bernilai RM700,000 dan sita dua hotel RM2 juta milik pegawai TLDM disyaki rasuah dalam ‘Op Layar’
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan 21 akaun bank bernilai dianggarkan RM700,000.
Akaun-akaun itu termasuk 14 akaun perbankan milik beberapa individu yang disyaki terlibat dalam kes rasuah.
Mereka dipercayai membantu mengesyor dan melantik syarikat kroni seorang pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Menurut sumber, Bahagian Perisikan SPRM juga menyita dua hotel milik pegawai kanan terbabit melalui ‘Op Layar’.
Nilai dua hotel yang disita itu dianggarkan mencecah RM2 juta.
SPRM turut membuat semakan dengan Jabatan Akauntan Negara ke atas beberapa syarikat berkaitan.
Semakan itu bagi mengenal pasti sama ada terdapat tender atau sebut harga oleh syarikat-syarikat terbabit.
“SPRM juga sedang mengesan aset-aset lain yang dimiliki oleh suspek serta pemilik-pemilik syarikat yang bersekongkol dengan suspek,” kata sumber itu.
Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM Datuk Saiful Ezral Arifin mengesahkan perkara tersebut.
Beliau memaklumkan tujuh individu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan setakat ini.
SPRM sebelum ini menahan seorang pengarah syarikat dan seorang pegawai kanan TLDM.
Mereka disyaki terbabit dalam rasuah bagi mengesyor dan melantik syarikat kroni mendapatkan kerja sebut harga.
Kedua-dua suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan itu dari 2017 hingga 2020.
Mereka direman selama tujuh hari sehingga 29 Jan ini di Mahkamah Tinggi Ipoh.
Siasatan awal mendapati pegawai kanan TLDM itu disyaki memiliki harta melebihi emolumennya.
Harta terbabit termasuk kira-kira lapan aset tidak alih seperti tiga rumah, tiga rumah kedai dan dua hotel.








