SWCorp terima 100 motosikal khas untuk penguatkuasaan Perintah Khidmat Masyarakat bagi kesalahan buang sampah kecil, melibatkan 300 penguat kuasa terlatih.
IPOH: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) memperoleh 100 motosikal khas bagi melaksanakan penguatkuasaan membabitkan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) untuk kesalahan membuang sampah kecil.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata motosikal itu boleh digunakan untuk memasuki lorong bagi memantau keadaan setempat.
Pelancaran pasukan Motor Kit Penguatkuasaan SWCorp telah dibuat pada bulan lepas.
“Dia (penguat kuasa menggunakan motosikal) ada untuk menjaga kebersihan dan memakai uniform seperti penguat kuasa,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau menambah mereka antara lain akan mengambil keterangan dan mengeluarkan kompaun.
Nga berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja rasmi Sentuhan Kasih Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Bercham.
Selain itu, beliau berkata kira-kira 300 penguat kuasa telah diberikan latihan khusus untuk melaksanakan PKM bagi kesalahan membuang sampah kecil.
“Apabila mahkamah menjatuhkan hukuman, mereka (pesalah) akan dibawa oleh penguat kuasa ke tempat awam untuk diberikan jaket hijau dan membantu pekerja pembersihan,” katanya.
Terdahulu, Nga berkata antara kerja khidmat masyarakat kepada pesalah PKM ialah menyapu jalan, mencuci longkang, membersihkan tandas awam dan mencantas pokok.
Beliau menegaskan PKM bukan bersifat menghukum tetapi lebih kepada mendidik.
Perintah itu turut membabitkan warga asing kerana tiada siapa yang mengatasi undang-undang negara ini.
Berkenaan negeri yang tidak mengguna pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672), Nga berkata kerajaan negeri terlibat diberi tempoh enam bulan untuk mencari jalan mengadakan kerjasama strategik.
Kerjasama itu adalah supaya PKM dapat dilaksanakan.








