Presiden AS Donald Trump umumkan Thailand dan Kemboja bersetuju hentikan semua tembakan di sempadan, susulan pertempuran yang sebabkan ratusan ribu dipindahkan
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan Thailand dan Kemboja bersetuju untuk menghentikan semua tembakan berkuat kuasa petang Jumaat.
Beliau menyatakan perkara itu menerusi media sosial Truth Social.
“Saya mengadakan perbualan yang sangat baik pagi ini dengan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet berhubung konflik jangka panjang mereka yang amat dikesali,“ kata Trump.
Beliau menambah bahawa kedua-dua negara bersedia untuk mencapai keamanan.
Konflik sempadan Thailand-Kemboja kembali memuncak pada petang Ahad lalu.
Pertempuran bersenjata itu tercetus semula pada akhir Julai.
Kedua-dua pihak saling menuduh satu sama lain sebagai pihak yang memulakan serangan.
Mereka juga mengesahkan berlakunya korban dalam pertempuran tersebut.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Thailand, Surasant Kongsiri berkata pertempuran sempadan terbaharu mengorbankan sembilan anggota tentera Thailand.
Lebih 120 orang cedera manakala hampir 200,000 orang awam Thailand dipindahkan.
Setakat petang Jumaat waktu tempatan, jumlah penduduk Kemboja yang dipindahkan meningkat kepada lebih 300,000 orang.
Angka itu dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri Kemboja dalam satu kenyataan media. – Bernama-Xinhua







