Sidang Parlimen ke-15 dibuka dengan Titah Diraja, fokus pada RMK13 dan pembentangan RUU penting termasuk had tempoh jawatan PM.
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 bermula Isnin ini dengan Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebagai tumpuan utama.
Seri Paduka Baginda akan merasmikan persidangan kedua-dua dewan, Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Titah Diraja itu dijangka menyentuh pelbagai perkara penting termasuk pembangunan negara, kebajikan rakyat dan ekonomi selaras dengan permulaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
BACA: 20 Akta dipersetujui Agong, termasuk Akta Parlimen
Istiadat pembukaan akan disiarkan secara langsung bermula 10 pagi menerusi saluran media rasmi dan platform dalam talian.
Sebelum Titah Diraja, Yang di-Pertuan Agong akan menerima Hormat Diraja oleh pasukan Kawalan Kehormatan Utama di Dataran Parlimen.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, timbalan-timbalannya, barisan jemaah menteri dan ketua perwakilan asing turut dijadual menghadiri istiadat itu.
Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 20 hari dengan pembentangan usul Menjunjung Kasih dan Perbahasan Titah Diraja.
Perbahasan Titah Diraja dijadual berlangsung selama tujuh hari bermula 20 Jan.
Sesi jawapan menteri akan diadakan pada minggu ketiga persidangan dari 4 hingga 10 Februari.
Sesi pembentangan rang undang-undang dan urusan kerajaan lain dijadualkan pada enam hari terakhir bermula 23 Februari.
Parlimen tidak bersidang pada 2 dan 3 Februari sempena Hari Wilayah Persekutuan dan Hari Thaipusam.
Persidangan juga berehat dari 16 hingga 19 Februari susulan sambutan Tahun Baharu Cina dan awal Ramadan.
Persidangan Dewan Negara pula akan berlangsung selama 13 hari bermula 23 Februari.
Beberapa rang undang-undang baharu dijangka menjadi agenda utama persidangan Dewan Rakyat kali ini.
Antaranya ialah RUU bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada tidak lebih 10 tahun atau dua penggal penuh.
RUU berkaitan pemisahan kuasa Pendakwa Raya dengan Peguam Negara juga dijangka dibentangkan.
Perdana Menteri sebelum ini mengumumkan langkah reformasi institusi itu akan dilaksanakan pada sesi Parlimen tahun ini.
RUU lain yang disebut termasuk RUU Ombudsman 2025 dan RUU berkaitan Akta Kebebasan Maklumat.
Bacaan kali kedua RUU Perjanjian Penyelesaian Antarabangsa Yang Terhasil Daripada Pengantaraan 2025 turut menjadi tumpuan.
RUU Pembaharuan Semula Bandar 2025 yang tertangguh pada sidang sebelum ini juga dijangka dibawa semula. – Bernama








