Perenang Tong Yu Jing pecah rekod negara 50m gaya bebas, raih gangsa pada penampilan sulung Sukan SEA Thailand 2025
BANGKOK: Perenang muda negara Tong Yu Jing mencipta sejarah pada penampilan sulungnya di Sukan SEA.
Beliau memecahkan rekod negara serta meraih pingat gangsa dalam acara 50 meter gaya bebas lelaki di Kolam Renang Sports Authority of Thailand.
Perenang berusia 19 tahun itu mencatat masa 22.48 saat, memadam rekod kebangsaan sebelumnya iaitu 22.91s.
“Saya memang memburu rekod negara tetapi tidak menyangka dapat pingat gangsa,” katanya kepada pemberita.
Yu Jing menambah bahawa ia merupakan Sukan SEA pertamanya dan dia berasa sangat gembira.
Pingat emas dimenangi perenang Singapura, Mikkel Lee Jun Jie, dengan catatan 21.92s.
Rakan senegaranya Teong Tzen Wei meraih perak dengan masa 22.42s.
Dalam acara 4×200 m gaya bebas berganti-ganti lelaki, kuartet kebangsaan meraih perak dengan memecahkan rekod negara.
Kumpulan terdiri daripada Khiew Hoe Yean, Terence Ng, Ananda Lim dan Arvin Shaun Singh mencatat 7:19.50s.
Mereka terlepas emas kepada Vietnam yang mencatat 7:18.67s.
Singapura meraih gangsa dengan masa 7:21.13s.
Rekod kebangsaan baharu ini meleburkan rekod terdahulu 7:19.66s.
Rekod lama dipegang oleh Hoe Yean, Arvin Shaun, Lim Yin Chuen dan Tan Khai Xin pada Sukan Universiti Dunia 2025.
Sementara itu, Phee Jinq En meraih pingat gangsa dalam acara 50m kuak dada wanita.
Pencapaian itu memberikan kontinjen renang negara pingat pertama mereka semalam. – Bernama







