Menteri Pertahanan ingatkan warga pertahanan kekal fokus jaga keselamatan negara, jangan terpengaruh suasana politik semasa menjelang PRN Sabah.
KOTA BELUD: Warga pertahanan diingatkan supaya tidak terpengaruh dengan suasana politik semasa sebaliknya kekal fokus kepada tanggungjawab utama menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata anggota tentera perlu sentiasa memahami peranan mereka bagi memastikan keamanan negara terus terpelihara.
Beliau menegaskan perkara itu walaupun berdepan suasana politik yang dinamik, khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17.
“Sebab itulah kita harap supaya warga pertahanan tidak melalui dan terpengaruh dengan keadaan sedemikian,” katanya ketika ditemui pada Program Hari Keluarga Warga Angkatan Tentera Malaysia di Kompleks Sukan Kota Belud.
Mohamed Khaled menekankan anggota tentera mesti jelas bahawa tanggungjawab dan peranannya adalah untuk menjaga keselamatan negara.
Beliau berkata semangat perpaduan antara anggota tentera, keluarga serta masyarakat setempat amat penting bagi memastikan ATM terus kuat dan bersatu.
Mohamed Khaled turut menekankan bahawa keselamatan Sabah menjadi tanggungjawab bersama semua anggota tentera tanpa mengira negeri asal mereka.
“Sama ada jaga perairan di Sabah, pulau, pantai, kampung dan sebagainya tanpa melihat kepada asal-usul tapi semuanya komited dan sangat setia menjaga keselamatan Sabah,” katanya.
Beliau menambah keselamatan Sabah akan menyumbang kepada keselamatan negara secara keseluruhan.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 November sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri Sabah manakala undi awal pada 25 November. – Bernama






