Your Title

KUALA LUMPUR: Sebanyak 5,000 paket bubur lambuk akan diagihkan di bazar Ramadan, surau dan masjid sekitar Parlimen Sungai Buloh, sepanjang bulan Ramadan ini, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata pengagihan bubur lambuk secara percuma itu bagi menyemarakkan lagi suasana bulan Ramadan di Sungai Buloh, kerana sudah menjadi kelaziman ia menjadi juadah istimewa semasa berbuka puasa.

“Semalam, saya mengedarkan sendiri bubur lambuk kepada warga Sungai Buloh untuk bertemu mereka atas semangat perpaduan dan kebersamaan, cukup meriah bersama mereka dan sebanyak 500 (paket) bubur lambuk telah diagihkan di Bazar Ramadan Saujana Utama dan 250 (paket) lagi di masjid dan surau sekitar kawasan terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ramanan berkata beliau turut berkesempatan menyantuni peniaga, beramah mesra bersama pengunjung Bazar Ramadan serta menghulurkan duit raya kepada kanak-kanak.

Beliau berkata selain mengedarkan bubur lambuk, Pusat Khidmat Parlimen Sungai Buloh telah mengatur dan menyusun pelbagai program untuk masyarakat Islam di kawasan itu, antaranya program berbuka puasa bersama asnaf, program bersama anak-anak muda dan anak yatim serta program agihan zakat.

Ramanan juga berkata beliau akan meneruskan penyaluran sumbangan gaji beliau sebagai Ahli Parlimen kepada masjid-masjid di Kawasan Sungai Buloh.

“Ini komitmen saya sejak dilantik sebagai Ahli Parlimen dan akan diteruskan selagi menjadi Ahli Parlimen di sini,” katanya. -Bernama