KUANTAN: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (gambar) berkenan menyempurnakan Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Stadium Darul Makmur di sini, pada Sabtu ini.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang Fadzli Mohamad Kamal yang menjunjung kasih atas kesudian Seri Paduka berkenan menyempurnakan sambutan itu, berkata ia mencerminkan stadium yang dibina sejak 1970-an itu dekat dan sinonim dengan kerabat diraja Pahang.

“Perasmian stadium ini telah disempurnakan Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah (Sultan Pahang moden keempat) pada 30 Sept 1973 dan kini, Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah juga berkenan bersenam di sini,“ katanya pada sidang media di stadium itu di sini hari ini.

Sehubungan itu, Fadzli menjemput orang ramai turut sama memeriahkan sambutan yang akan berlangsung selama empat hari bermula Rabu dengan pelbagai program diatur termasuk ceramah agama, karnival makanan, jualan bundle, acara larian dan pertunjukan sukan permotoran.

Turut diadakan ialah konsert yang menampilkan artis seperti Ameng Spring, Datuk Jamal Abdillah dan Ara Johari, persembahan 400 murid sekolah sekitar daerah ini, pertunjukan bunga api serta pelancaran logo baru Perbadanan Stadium Darul Makmur.

Pada perkembangan berkaitan, Fadzli berkata pengurusan stadium menerima sambutan baik selepas trek balapan stadium dibuka kepada orang awam selama tiga jam bermula 4 petang setiap Isnin hingga Jumaat sejak Jun lepas, setelah kerja baik puih dan naik taraf fasa satu antaranya kerja landskap dan mengecat bangunan luar serta baik pulih tandas siap.

“Stadium ini mempunyai potensi cukup besar kerana ini mercu tanda negeri dan kedudukannya di tengah bandar...jadi pendapatannya boleh ditambah. Jika tahun lepas pendapatannya sekitar RM1.2 juta dan RM2 juta untuk tahun ini...maka tahun hadapan, kita sasarkan lebih RM3 juta,“ katanya.

Fadzli berkata sasaran itu boleh dicapai menerusi sewaan untuk program seperti karnival, sewaan dewan serta ruang niaga seperti yang dilakukan oleh pengurusan stadium di negara luar. -Bernama